Negara maju, perancangan jitu, data padu
November 14, 2024
Mohd Syahir Che Sulaiman
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mahu Menteri Ekonomi kongsikan di Dewan Rakyat, perbezaan pendekatan yang akan diambil dalam penyediaan dokumen RMK13 berasaskan kaedah ‘kanvas kosong’, berbanding penyediaan RMK-RMK sebelum ini.
Perkara tersebut dimintanya daripada Rafizi Ramli berikutan Menteri itu menyatakan akan menyediakan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) berdasarkan kaedah tersebut yang berbeza dari RMK sebelum-sebelum ini.
“Selain itu, dalam merangka RMK13 ini, Bachok mengajak pasukan Kementerian Ekonomi untuk menetapkan sasaran dan matlamat jangka panjang pembangunan ekonomi negara melangkaui sehingga 2040, bukan setakat tempoh 2030 sahaja.
“(Ini) mengambil kira trend mega yang mempengaruhi dunia dan masyarakat pada masa hadapan, serta jurang sosio-ekonomi dalam negara yang perlu dirapatkan.
“Fokus perlu diberikan secara seimbang di antara perkara besar dan melangit di atas, dengan perkara yang kecil dan membumi di bawah, supaya kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.
“Saya juga ambil kesempatan di sini, ucapkan selamat datang kepada YB Menteri ke Negeri Kelantan, sesi libat urus RMK13 pada 17 November ini di Kota Bharu. Ahlan wa sahlan diucapkan,” ujarnya dalam perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi.
Syahir juga menyentuh peruntukan kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) yang lebih tinggi berbanding peruntukan di bawah tajuk Perancangan Ekonomi, RM162.1 juta, di mana akuinha menunjukkan peri penting penghasilan data dan statistik yang ‘reliable’, terkini, dan komprehensif.
Tegasnya, tidak timbul pihak pembangkang mempertikaikan data rasmi dikeluarkan DOSM kerana ia adalah institusi tunggal dan terunggul dalam menjalankan aktiviti survey, bancian dan perangkaan secara menyeluruh.
Namun Menteri pohonnya, diminta menyatakan mekanisma untuk rakyat mengemaskini maklumat di dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sama ada kepada yang telah mendaftar mahupun kepada belum mendaftar, dari aspek tempoh kekerapannya.
“Seterusnya mekanisma pengesahan (verifikasi) maklumat yang telah diisi, khususnya berkaitan pendapatan, komitmen hutang dan lokasi yang mungkin boleh berubah dari masa ke masa. Termasuk proses penentuan kelayakan penerima subsidi petrol RON95,” ujarnya.
Beliau turut mengulangi penegasan bahawa tidak timbul pembangkang hanya membela nasib golongan T15, dan tidak membela nasib 85 peratus rakyat di luar sana.
“Yang pembangkang dan ramai rakyat di luar sana persoalkan adalah, ukurannya, definisinya. Itu sahaja. Sekejap diumum T15, sekejap diumum T10, jadi rakyat tertanya-tanya.
“Selain itu, kita perlu faham bahawa walaupun 85 peratus rakyat dijamin tidak akan membayar harga petrol yang lebih mahal, tetapi apa jaminan 85 peratus rakyat ini tidak terkena tempias kesan tidak langsung daripada penyasaran subsidi petrol dan diesel ini.
“Ya, harga petrol dijanjikan tidak naik, tetapi harga roti canai, teh tarik, tambang bas sekolah, dan yuran taska dijangka akan naik,” suaranya terhadap isu tersebut.
Syahir juga mohon maklum balas Menteri bahawa projek rintis telah dilaksanakan antara tahun 2022 dan 2023 melibatkan penggunaan kad pengenalan dan juga e-dompet di stesen minyak terpilih.
“Mohon YB Menteri menyatakan jumlahnya sahaja – jumlah stesen yang terlibat mengikut negeri (termasuk Sabah dan Sarawak); juga jumlah pemegang kad pengenalan yang terlibat, mengikut kategori T15 dan bukan-T15.
“Namun saya terbaca laporan berita Sinar Harian hari ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) menyatakan, “Tiada sebarang sesi libat urus atau rundingan setakat ini antara kerajaan dan atau wakil pengusaha stesen minyak.
“(Iaitu) berhubung pelaksanaan mekanisme penggunaan MyKad dan e-dompet bagi pembelian RON95,” ujarnya meminta penjelasan lagi dari Rafizi.
Turut disentuhnya adalah berkenaan lawatan ke luar negara di mana kelihatan suatu peningkatan ketara bagi tahun 2025, RM7.3 juta ketimbang RM2.1 juta bagi tahun 2024.
“Pandangan saya Menteri Ekonomi tidak perlulah kerap sangat hendak ke luar negara. Biarlah Menteri MITI dan Menteri Luar yang mengiringi YAB Perdana Menteri untuk membawa masuk pelaburan dan membuka pasaran eksport berbilion ringgit.
“Menteri Ekonomi biarlah selalu berada dalam negara, kalau pergi jauh-jauh nanti Arau dan Pendang rindu, rakyat pun rindu,” sindirnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan