Negeri kedua PBT tak keluar lesen jualan vape
November 21, 2024
KUALA LUMPUR: “Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Terengganu dan Johor kerana mengikuti hasrat majoriti rakyat Malaysia yang bimbang kerosakan yang lebih teruk dalam negara jika vape dan rokok terus berleluasa penjualannya.”
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata demikian kepada pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkaitan rokok elektronik atau vape itu.
Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan vape atau rokok elektronik yang beroperasi di premis kelolaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa pada 1 Januari tahun hadapan.
Dr Suhazeli berkata, Terengganu adalah negeri kedua yang membuat pengisytiharan tidak lagi mengeluarkan lesen kepada premis penjualan vape dalam negeri itu.
“Pada 1 Januari 2016, kerajaan Johor telah mengisytiharkan larangan penjual vape dengan tidak memberikan lesen kepada premis vape.
“Negeri-negeri lain masih lagi berstatus sejuk, tidak mengeluarkan apa-apa arahan larangan sepertimana Terengganu dan Johor, “katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau mengharapkan tindakan itu bukan seperti hangat-hangat tahi ayam.
Katanya lagi, walaupun pemimpin tertinggi negeri mengeluarkan arahan menghalang premis vape dibuka, tetapi kedai-kedai vape masih lagi tumbuh seperti cendawan.
“Seolah-olah arahan larangan tersebut tidak mempunyai taringnya. Jika sebelum tahun 2024, kita mungkin boleh beralasan kedai vape tidak dapat dihalang pembukaannya dan penjualannya kerana tidak ada satu akta khusus yang boleh mengawal selia penjualan vape.
“Namun, bermula 1 Oktober 2024 Akta Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) telah pun digazetkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” jelasnya.
Suhazeli berkata, ini bermakna segala bentuk aktiviti penjualan, pemilikan dan penggunaan produk merokok termasuk vape mempunyai kebertanggungjawaban undang-undang ke atasnya.
Oleh itu, beliau turut berkata, peranan kerajaan negeri melalui PBT mempunyai sandaran dalam tindakan untuk mengikuti lunas undang-undang seperti mana yang terdapat di dalam akta 852 tersebut.
“Adalah diharapkan negeri-negeri lain dalam negara dapat mengambil penyelesaian yang sama seperti Terengganu dan Johor tersebut.
“Tindakan itu bukan berbentuk retorik atau mendapat sokongan politik tetapi demi kesihatan rakyat dalam negeri seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan