Pegawai kadet terbabit buli mungkin diberhentikan - Mohamed Khaled


Pegawai kadet terbabit buli mungkin diberhentikan - Mohamed Khaled
Oleh Nor Azizah Mokhtar - November 12, 2024 @ 2:05pm
Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 8 Noivember lalu, atas pertuduhan mencederakan pelajar mengguna seterika wap panas, bulan lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit kes buli ke atas seorang pelajar junior yang ditekap dengan seterika, baru-baru ini berkemungkinan diberhentikan pengajian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata lembaga siasatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memutuskan hukuman ke atas pelajar terbabit hari ini.

Menurutnya, siasatan berkait insiden sudah pun selesai dijalankan oleh lembaga siasatan dan pihaknya percaya hasil siasatan sama dengan dapatan hasil siasatan pihak polis.

"Hanya daripada segi hukuman, akan ditentukan pada hari ini ke atas pelajar itu. Hanya saya boleh membayangkan bahawa kita tidak akan kompromi dalam soal disiplin kerana 'ragging' orientasi bukan satu perkara yang baharu di mana-mana, namun tidak pernah melibatkan soal kekerasan.

"Oleh itu, mana-mana (kes buli) yang melibatkan kekerasan, kita tidak akan kompromi untuk mengambil tindakan yang tegas termasuklah berhentikan mereka daripada menjadi seorang kadet dan kita akan menuntut supaya dibayar balik segala tanggungan (biasiswa) yang kita berikan sepanjang menjalani latihan sebagai kadet," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata adalah tindakan diberhentikan dan perlu membayar semula biasiswa itu akan dikenakan kepada mana-mana penuntut ALK UPNM yang terbabit perbuatan buli dengan kekerasan.

"Jadi dalam konteks ini, saya ingin tegaskan hukumannya tidak lari daripada itu bagi mereka yang terlibat dalam soal keganasan dan kekerasan sama ada semasa orientasi atau hubungan harian biasa antara semasa kadet," katanya.

Pada 8 November lalu, Pegawai Kadet ALK UPNM didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi di sini.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman terbabit.

Pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 1 November dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ulasan