Pembiayaan Ikhtiar: 78% telah diguna hingga Sept 2024



Pembiayaan Ikhtiar: 78% telah diguna hingga Sept 2024
November 15, 2024

Share
Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Bermula Januari sehingga September 2024, jumlah pembiayaan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia yang telah digunakan adalah sebanyak RM2.03 bilion iaitu sebanyak 78 peratus daripada jumlah sasaran pembiayaan RM2.6 bilion bagi tahun 2024.


Menteri Kewangan berkata, jumlah pembiayaan tersebut telah memanfaatkan sebanyak 230,921 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat, semalam.

Siti Zailah dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa peratus peruntukan yang telah dibelanjakan bagi program Skim Pembiayaan Ikhtiar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan Program Rebat Bil Elektrik untuk miskin tegar seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2024 dan berapa orang yang mendapat manfaat daripada skim-skim ini.

Seterusnya, kata menteri itu, sebanyak RM497.2 juta telah diperuntukkan bagi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Daripada jumlah berkenaan, ujarnya RM459.8 juta atau 92.47 peratus telah dibelanjakan sehingga 31 Oktober 2024 yang memberi manfaat kepada 59,054 penerima manfaat.

Menurutnya, bagi Program Rebat Bil Elektrik RM40, sebanyak RM55 juta telah diluluskan di bawah Belanjawan 2024.

Katanya, sehingga 31 Oktober 2024, jumlah perbelanjaan bagi program tersebut adalah sebanyak RM22.78 juta atau bersamaan dengan 41 peratus daripada jumlah peruntukan bagi tahun 2024 yang memanfaatkan seramai 64,764 isi rumah dalam kalangan miskin tegar. – HARAKAHDAILY 15/11/2024

Ulasan