Pendirian PMX mengenai negara haram Israel mengelirukan
November 15, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan jawapan yang dikemukakan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi temuramah bersama agensi berita antarabangsa, CNN semalam mengenai negara haram Israel.
Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, jawapan PMX tersebut menggambarkan bahawa seolah-olah beliau meng’halal’kan negara haram Israel tertegak di bumi Palestin bahkan juga mengizinkan serangan Zionis ke atas bumi Gaza selama ini berlapikkan alasan ‘mempertahankan diri’.
“Sejak sekian lama Malaysia berdiri teguh menolak negara haram Israel. Isunya bukan sekadar keganasan dan kezaliman yang dicetuskan oleh mereka, bahkan kewujudan Zionis Israel itu sendiri menjadi punca segala ketidakstabilan yang berterusan di rantau berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, adalah ironi apabila PMX menyatakan bahawa Zionis ‘mempunyai hak untuk mempertahankan diri’ (right to defend itself).
“Persoalannya, siapa yang terlebih dahulu muncul dan membuat onar di sana? Adakah pihak yang mempertahankan tanah airnya yang diceroboh harus dipersalahkan atau mereka yang menceroboh?
“HAMAS adalah sebuah gerakan pembebasan yang selama ini berjuang mempertahan dan memerdekakan negara Palestin. Justeru, bagaimana pula Zionis Israel pula mempunyai hak untuk mempertahankan diri?” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pendirian PMX itu amat mengecewakan rakyat Malaysia, yang selama ini teguh menyokong perjuangan Palestin dan menentang pencerobohan haram Zionis Israel.
Oleh yang demikian katanya, DUPP menggesa PMX menarik balik kenyataan yang meragukan dan ia merupakan langkah yang wajar bagi menggambarkan sikap konsisten Malaysia mempertahankan bumi Palestin daripada kezaliman Zionis Israel. – HARAKAHDAILY 14/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan