Pengeluaran minyak, gas Semenanjung berkurangan 50%
RAFIZI Ramli (kiri) menjawab soalan dalam Sesi Libat Urus RMK13 Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan semalam. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Oleh MUSTAQIM MOHAMED
18 November 2024, 6:50 am
KOTA BHARU: Pengeluaran minyak dan gas di Semenanjung Malaysia kini menyusut 50 peratus namun penemuan baharu sumber tersebut lebih banyak di Sabah dan Sarawak.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sumber berkenaan sebelum ini memberi kelebihan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan agihan pendapatan negeri-negeri.
Menurut beliau, sumber minyak dan gas kini hanya terdapat di Sabah dan Sarawak susulan penemuan terbaharu dan bukannya di Semenanjung.
“Di sebelah Semenanjung, kita memang semakin kehabisan sumber minyak dan gas kira-kira 10 tahun lepas, dengan jumlah pengeluaran minyak kita ialah 700,000 tong sehari sebelum ini, dan sekarang dalam 350,000 tong sehari.
“Negara perlu melalui proses peralihan tenaga dengan segera dan dalam konteks itu kita kena ambil kira beberapa dasar yang perlu dilaksanakan kerajaan, termasuklah penyasaran semula subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.
MINYAK DAN GAS
Rafizi berkata, sumber minyak dan gas yang terdapat di Sabah dan Sarawak itu pula digunakan bagi memenuhi tuntutan dan penggunaannya di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara pengagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak.
“Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli,” katanya.
Beliau berkata, kekurangan sumber minyak dan gas di Semenanjung Malaysia menjadi cabaran besar kepada kerajaan dalam soal mengagihkan dan menentukan peruntukan ke negeri-negeri.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan Indah itu berkata, Malaysia kini turut mengimport 30 peratus sumber gas untuk menjana elektrik dalam industri.
Menurut beliau, tindakan tersebut jika tidak berhati-hati, Malaysia mungkin terpaksa terus bergantung kepada negara asing untuk memperoleh sumber tersebut.
Mengenai sempadan Malaysia-Thailanda, Rafizi berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedang melihat penyediaan format dan model pembangunan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai pembangunan di kawasan sempadan negara boleh dimulakan.
Beliau berkata, melalui kaedah tersebut kerajaan dapat memperincikan jumlah peruntukan dan bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan nanti.
“Kita perlu membangunkan format dan model pembangunan itu lebih dahulu. Bukan sahaja di Kelantan, malah di Kedah dan Perlis yang melibatkan sempadan negara di bahagian utara.
“Dari situ saya rasa kita boleh menentukan peruntukan dan bentuk pembangunan yang mahu dibuat,” katanya.
Rafizi memberitahu, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sehingga RM1 bilion pada tahun lalu untuk menaik taraf infrastruktur sempadan di utara Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak.
“Memang beberapa projek naik taraf kemudahan di kawasan sempadan sedang berjalan pada ketika ini,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan