Petanda awal serangan strok
pesakit strok mungkin memerlukan fisioterapi, terapi pertuturan dan terapi pekerjaan. – GAMBAR HIASAN
Oleh Gaya Utusan
26 November 2024, 9:00 am
Berasa lemah atau kebas terutamanya pada satu sisi badan adalah petanda utama seseorang mungkin akan terkena serangan strok.
Pakar perunding bedah saraf di Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Dr. Puneet Nandrajog berkata, gejala strok sering muncul secara tiba-tiba dan petunjuk yang paling biasa adalah berasa lemah atau kebas terutamanya di satu sisi badan disertai percakapan yang tidak jelas.
Tanda-tanda lain mungkin termasuk kekeliruan, kesukaran memahami pertuturan, masalah penglihatan pada satu atau kedua-dua mata selain tidak dapat mengimbangi tubuh dengan baik.
“Mengenali gejala ini lebih awal adalah penting kerana strok adalah perlumbaan melawan masa.
“Apabila seseorang mengalami strok, setiap detik penting. Semakin cepat kita dapat memulakan rawatan, semakin banyak fungsi otak yang dapat kita pelihara.
“Intervensi awal dapat mengurangkan tahap kerosakan otak secara drastik” katanya.
Setiap tahun, 15 juta orang di seluruh dunia mengalami strok, dengan lima juta mengakibatkan kematian manakala lima juta lagi menghadapi kecacatan kekal.
Malaysia menunjukkan trend yang membimbangkan apabila Daftar Strok Kebangsaan mencatatkan lebih 47,911 kes strok pada 2019. Ini bermakna, kira-kira 130 orang mengalami strok setiap hari.
Dua jenis strok
Strok dikategorikan kepada dua jenis utama iaitu iskemia dan hemoragik, dengan 87 peratus kes strok yang dilaporkan melibatkan strok iskemia.
Strok iskemia berlaku apabila saluran darah yang membekalkan otak tersumbat, biasanya disebabkan darah beku.
Penyumbatan itu menghalang otak daripada menerima darah dan oksigen yang diperlukan seterusnya menyebabkan kematian sel di kawasan yang terjejas.
Strok hemoragik pula berlaku berlaku apabila saluran darah di dalam atau di sekitar otak pecah, menyebabkan pendarahan yang merosakkan tisu otak.
“Pengumpulan darah meningkatkan tekanan di dalam tengkorak, menyebabkan kerosakan lebih lanjut pada sel-sel otak.
“Jenis strok mempengaruhi strategi rawatan kerana strok iskemia dan hemoragik memerlukan intervensi yang sangat berbeza.
“Diagnosis awal dan tepat adalah penting untuk membantu membimbing pendekatan rawatan yang sesuai, sama ada penyingkiran darah beku untuk strok iskemik atau prosedur pembedahan untuk strok hemoragik,” jelasnya.
Beberapa faktor menjadi penyumbang kepada peningkatan kemungkinan mengalami strok termasuk darah tinggi, dislipidemia, diabetes dan merokok.
Malah, keadaan jantung seperti fibrilasi atrium serta pengambilan alkohol yang berlebihan dan gaya hidup yang tidak aktif turut boleh meningkatkan risiko seseorang terkena strok.
“Menguruskan faktor risiko ini melalui pemeriksaan kesihatan secara berkala dan perubahan gaya hidup sangat penting dalam mengurangkan risiko strok.
KEMAJUAN RAWATAN
Kemajuan dalam pembedahan saraf yang berkaitan dengan strok telah mengubah pilihan rawatan untuk pesakit.
Terutamanya melalui penggunaan prosedur minimal invasif yang bermaksud kurang menyakitkan atau kurang trauma kepada pesakit.
Teknik ini mengurangkan komplikasi dan menggalakkan tempoh pemulihan yang lebih cepat.
Navigasi berpandukan imej dan kemajuan teknologi dalam pembedahan saraf juga memudahkan pakar bedah untuk untuk melakukan rawatan lebih tepat.
“Kemajuan teknologi dalam pembedahan saraf ini membolehkan kita beroperasi dengan lebih tepat dan selamat.
“Ia juga kurang invasif yang menggalakkan pemulihan pesakit lebih cepat,” jelasnya.
Selain itu, kecerdasan buatan (AI) meningkatkan ketepatan diagnostik dan perancangan rawatan dengan menganalisis data pengimejan dengan cepat dan mengenal pasti corak strok lebih awal berbanding kaedah tradisional.
Integrasi AI dan robotik ke dalam penjagaan strok dijangka terus berkembang, meningkatkan lagi pemulihan pesakit dan ketepatan pembedahan.
“Masa depan rawatan strok sangat memberangsangkan. Dengan teknologi ini, kami dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup pesakit strok seperti sebelumnya,” kataya.
Begitupun, Puneet menegaskan pencegahan tetap menjadi penawar terbaik.
Mengekalkan gaya hidup sihat seperti aktiviti fizikal yang teratur, diet seimbang, tidak merokok dan mengawal pengambilan alkohol dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara.
Menguruskan penyakit seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes juga penting bagi mencegah risiko strok yang boleh terjadi secara tiba-tiba.
Ulasan
Catat Ulasan