Pilihan Raya Presiden AS: Harris, Trump bersaing sengit menuju garisan penamat


Pilihan Raya Presiden AS: Harris, Trump bersaing sengit menuju garisan penamat

November 4, 2024 @ 12:30pm
EAST LANSING: Kamala Harris berusaha menarik sokongan pengundi yang berang dengan perang Gaza, manakala Donald Trump pula meningkatkan retorik keganasan menerusi komen mengenai wartawan ditembak, ketika perlumbaan antara kedua-dua calon Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menuju ke garisan penamat.

Harris yang juga Naib Presiden AS daripada Demokrat, serta Trump - bekas Presiden daripada Republikan - kini bersaing sengit terutama untuk meraih mandat daripada beberapa negeri 'atas pagar' menjelang hari pengundian yang turut menjadi tumpuan seluruh dunia, esok.

Trump meramalkan 'kemenangan besar', manakala Harris dalam ucapan di hadapan penyokong di Universiti Michigan State pula berkata: "Kita memiliki momentum - ia menyebelahi kita."

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan antara kedua-dua calon itu di negeri-negeri utama dilihat hampir seri. Lebih 77.6 juta orang telah selesai melakukan pengundian awal.

Dalam baki jam-jam terakhir berkempen, Harris, 60, meluangkan masa di salah sebuah negeri mesti dimenangi - Michigan di mana beliau berisiko kehilangan sokongan kira-kira 200,000 ahli komuniti Arab-Amerika yang mengecam tindakan AS dalam menangani perang Israel-Hamas.


Ketika memulakan ucapan pada perhimpunan itu yang turut dihadiri pemimpin komuniti terbabit, Harris memberitahu jika diberikan mandat sebagai Presiden AS kelak, beliau akan melakukan segala yang terdaya dalam bidang kuasanya untuk menamatkan peperangan di Gaza.


"Saya mahu katakan tahun ini adalah sukar memandangkan skala kematian dan kemusnahan di Gaza, orang awam yang terkorban serta penduduk kehilangan tempat tinggal di Lubnan," katanya.

Harris sekali gus menggesa rakyat AS untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian agar tiada penyesalan kemudian.

Sementara itu, jadual program Trump semalam pula tertumpu di Pennsylvania, Carolina Utara dan Georgia - tiga negeri 'atas pagar' terbesar dalam sistem Kolej Elektoral AS.

Trump, 78, sekali lagi memberikan bayangan yang dirinya berkemungkinan tidak akan menerima kekalahan, malah menambah 'retorik gelap' bahawa beliau tidak kisah jika wartawan ditembak.

Beliau turut menggelar Demokrat sebagai 'syaitan', selain mengingatkan penyokongnya bahawa mereka 'bodoh' jika tidak mengundi.

Meskipun tidak mengemukakan sebarang bukti berhubung dakwaan penipuan pengundian, setakat ini, Trump menuduh Demokrat di Pennsylvania 'berusaha keras untuk mencurinya.'

Beliau juga mengimbau kejadian hampir menjadi mangsa pembunuhan sebelum ini, dengan menyatakan untuk menembaknya lagi, peluru itu perlu melepasi kumpulan media.

"Untuk mendapatkan saya, seseorang itu perlu menembak menembusi berita palsu - dan saya tidak begitu kisah fasal itu," katanya dengan disambut gelak tawa hadirin.

Trump sekali gus menegaskan beliau 'tidak sepatutnya' meninggalkan Rumah Putih selepas kalah pada pilihan raya 2020 dan cuba untuk menterbalikkan keputusan itu.

Beliau pernah memberi bayangan akan sekali lagi enggan menerima sebarang kekalahan pada pilihan raya kali ini. - AFP

Ulasan