PMX diminta tarik kenyataan hak kewujudan Israel
November 14, 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) diminta untuk menarik balik kenyataan beliau yang menerima hak kewujudan negara haram Israel dalam temu bualnya bersama CNN baru-baru ini.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan PMX yang menerima hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri tidak mencerminkan pendirian rakyat Malaysia serta perjuangan dalam membela nasib rakyat Palestin.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu kezaliman dan penjajahan yang berlaku di Palestin, kami ingin melahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri Malaysia dalam temubual bersama Richard Quest dari CNN baru-baru ini.
“Pendirian rakyat Malaysia adalah kekal, iaitu Israel adalah negara penjajah yang wujud hasil rampasan tanah rakyat Palestin melalui keganasan dan penindasan.
“Kenyataan bahawa Israel ‘berhak untuk wujud’ adalah menafikan hak asasi rakyat Palestin yang telah kehilangan tanah air mereka,” bidas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Tempelak beliau, naratif ‘hak pertahan diri’ digunakan pihak Barat untuk menghalalkan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin, termasuk pembunuhan kanak-kanak, wanita, dan warga tua, selain menyembunyikan hakikat ‘genosid sistematik’ yang dilakukan Israel sejak peristiwa Nakba pertama.
“Malaysia selama ini kekal menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin dan menolak pengiktirafan terhadap Israel sebagai sebuah negara yang sah.
“Kenyataan Perdana Menteri bercanggah dengan dasar luar negara yang selama ini mendukung Palestin dan tidak sesekali mengiktiraf Israel,” ujarnya.
Justeru, atas dasar tanggungjawab dan solidariti bersama saudara seakidah di Palestin, Khalil yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menuntut agar Perdana Menteri menarik balik kenyataan tersebut.
“Kami mendesak Perdana Menteri segera menarik balik kenyataan yang dibuat dalam temubual tersebut, kerana ia tidak mencerminkan aspirasi dan pendirian rakyat Malaysia.
“Perdana Menteri perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Palestin yang terluka dengan kenyataan tersebut. Ini penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemimpin negara.
“Kami juga menggesa Kerajaan Malaysia memperkukuhkan lagi sokongan kepada Palestin melalui tindakan yang lebih konkrit, termasuk diplomasi antarabangsa, bantuan kemanusiaan, dan menolak sebarang bentuk normalisasi dengan Israel.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya sentiasa berdiri teguh bersama Palestin dan berharap Perdana Menteri mendengar suara kami demi mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan