Rahsia S Atan bertahan 50 tahun



Rahsia S Atan bertahan 50 tahun
Oleh Farihad Shalla Mahmud - Oktober 14, 2024 @ 11:01am
S Atan bersama isterinya, Datin Norizan Yeob ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor, baru-baru ini. - NSTP/Nabila Adlina Azhari

KUALA LUMPUR: Andai ditoreh, pasti yang mengalir daripada tubuh maestro muzik ini adalah darah seni yang cukup likat.

Hingga hari ini, muzik amat sebati dalam dirinya dan terus diperjuangkan sejak mengenali cabang seni lebih lima dekad lalu.

Bermula bermain 'bonggo', diteruskan dengan memetik piano, semangat

cintakan seni akhirnya membawa Datuk S Atan kepada kedudukannya antara komposer legenda disegani.

Namun, keistimewaan pemilik nama sebenar, Hashim Said, 75, itu dan membezakan dirinya dengan komposer lain adalah jiwa kemelayuan yang cukup menebal dalam setiap karya.

Baginya, elemen muzik Melayu itulah yang membuatkan lagu ciptaannya menjadi malar segar dan terus menjadi pilihan stesen radio untuk diputarkan.


"Setiap kali bila saya mencipta lagu, elemen muzik Melayu kena ada.

"Walaupun menggunakan alat muzik berdawai (string) seperti biola, namun melodi kemelayuan tetap diselitkan.

"Umpamanya, lagu hari raya yang saya hasilkan untuk Datuk Sheila Majid berjudul Hari Mulia.

"Walaupun berentak jazz, namun saya selitkan unsur lagu asli.

"Orang Melayu dengan melodi Melayu tidak boleh dipisahkan dan disebabkan itu, kebanyakan lagu saya menjadi malar segar dan masih diminati," katanya kepada BH Online ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Sebagai komposer, S Atan mengakui agak cerewet dan bukan sembarangan artis boleh menyanyikan lagu ciptaannya.

S Atan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada malam kemuncak ABPBH 36 di Auditorium MBSA. Turut mengiringi (dari kiri), Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali dan Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH, Shamshul Azree Samshir. - NSTP/Asyraf Hamzah



Bagi S Atan, suara adalah instrumen paling diutamakan kerana mencipta lagu untuk didengar, bukan untuk mata yang hanya menilai dari segi paras rupa.

"Ketika bekerja dengan syarikat rakaman, EMI Malaysia, saya pernah buat uji bakat penyanyi Herman Tino.

"Saya ambil Herman Tino sebagai penyanyi berdasarkan suaranya, tetapi keputusan saya dibantah syarikat rakaman hanya kerana tiada rupa.

"Namun, siapa mampu tiru suara macam Herman Tino? Memang tiada. Walaupun tiada rupa, Herman Tino tetap popular.

"Vokal menjadi keutamaan saya dalam memilih penyanyi," tegas komposer kelahiran Singapura itu.

Pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Jumaat lalu menyaksikan S Atan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 36.

Pemilihan S Atan sebagai penerima anugerah istimewa atas sumbangan dan bakti dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu.

S Atan menyifatkan anugerah berprestij diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya.

"Syukur, Alhamdulillah masih ada yang mengiktiraf karya seni saya. Terima kasih kepada Berita Harian untuk anugerah penuh bermakna ini.

"Anugerah ini menjadi antara pembakar semangat buat orang seni untuk terus berkarya apabila ada yang menghargai idea seni kami.

"Saya dedikasi anugerah ini khas buat mereka yang menghargai setiap hasil karya saya termasuk keluarga yang selalu menyokong," katanya.

Bermula bermain ‘bonggo’, diteruskan dengan memetik piano, semangat cintakan seni akhirnya membawa S Atan kepada kedudukannya antara komposer legenda disegani. - NSTP/Nabila Adlina Azhari



S Atan meluahkan rasa syukur dan terharu kerana jasa dan sumbangannya dihargai ketika hayatnya masih ada.

"Bagi saya, kalau nak beri anugerah berilah ketika masih hidup.

"Saya pesan pada isteri, kalau ada mana-mana pihak beri anugerah ketika saya sudah tiada, jangan terima.

"Sebaliknya, kenang saya dalam doa dan jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat saya," pintanya.

Sehingga kini, S Atan menghasilkan lebih 1,000 lagu.

S Atan juga mendapat jolokan Bapa Lagu Raya apabila mencipta lagu raya termasuk berstatus malar segar seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa, Salam Aidilfitri dan banyak lagi.

Antara penyanyi hebat tanah air yang pernah bekerja dengannya termasuk Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Carefree, Black Dog Bone dan ramai lagi.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

Ulasan