Ramai tahanan reman menghuni penjara
November 19, 2024
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai sebahagian besar penghuni penjara di negara ini adalah tahanan reman, iaitu mereka yang ditahan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.
Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, mereka adalah tertuduh membabitkan kesalahan yang boleh diberi jaminan, tetapi tidak dibenarkan serta kes yang tidak boleh dijamin.
“Menteri Dalam Negeri semasa penggulungan peringkat dasar telah menyentuh mengenai 74,000 kapasiti penjara di Malaysia, (daripada jumlah itu) seramai 28,000 penghuni adalah berstatus reman, ramai ditahan sementara menanti perbicaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional membangkitkan kes seorang individu yang dianggap diperdayakan selepas memfailkan kes saman sivil terhadap seorang yang berkuasa di negara ini.
Katanya, individu berkenaan sebelum itu telah membuat laporan polis mengenai jenayah majikannya, tetapi mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap majikannya.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata individu berkenaan telah ditangkap kerana dikatakan memiliki dadah dan senjata api tiruan, lalu dihadapkan ke mahkamah dan tidak dibenarkan jaminan.
“Dalam hal ini, saya ingin bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kes yang faktanya menunjukkan seolah-olah tertuduh telah diperdaya yang mana mahkamah menyatakan mahkamah boleh melihat fakta ini, itulah yang berlaku.
“Dia membuat permohonan di mahkamah supaya mengkaji semula Seksyen 41(b) Akta Dadah Berbahaya yang dianggap tidak berpelembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan