Berita
Rasuah: Zahid mahu pendirian Hajiji jadi pegangan pemimpin parti
Diterbitkan: Nov 15, 2024 6:29 PM
Dikemaskini: 6:29 PM
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan memberi 'petua' kepada para pemimpin parti politik berhubung isu dakwaan skandal rasuah di Sabah.
Mengakui sudah meneliti rakaman perbualan yang didedahkan sejak beberapa hari lalu, Ahmad Zahid berkata dia bersetuju dengan pendirian Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam menguruskan isu tersebut.
“Saya telah meneliti laporan-laporan media tentang rakaman perbualan tersebut, dan mendapati pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin parti lain," katanya seperti dipetik Sinar Online di Abu Dhabi.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas siri pendedahan dibuat Malaysiakini berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli politik di Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.
Setakat ini beberapa nama wakil rakyat sudah dipetik, termasuk Hajiji sendiri.
Bagaimanapun semua mereka menafikan terlibat dalam sebarang perbuatan rasuah.
Pada 12 Nov lalu Hajiji berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung rakaman video tersebut, namun mahu individu yang dianggap "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.
“Kami minta pihak berkuasa untuk menyiasat. Kami akan beri kerjasama, tapi siasat juga (pihak) yang memberi rasuah.
"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio)," katanya.
Adun Sindumin yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, Yusof Yacob, pula menganggap teknologi kecerdasan buatan (AU) digunakan untuk menjana suara seperti dirinya.
Kata Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN, Sabah bakal berdepan denngan pilihan raya negeri - yang perlu diadakan selewat-lewatnya Okt 2025.
Justeru, katanya, kerajaan perlu menjangkakan apa yang boleh berlaku dan ia bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Tambah Ahmad Zahid lagi, semua pihak harus menjangkakan apa juga akan berlaku di masa depan bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
Ulasan
Catat Ulasan