Sebenarnya wujud golong T15 si maha kaya di negara ini



Sebenarnya wujud golong T15 si maha kaya di negara ini
AHLI Parlimen tergolong dalam kumpulan berpendapatan tinggi disebabkan menerima pendapatan mencecah lima angka dan dilengkapi dengan pelbagai elaun.
Oleh Meja Rencana
19 November 2024, 9:00 am

BARU-BARU ini rancak perbincangan ‘T15-maha kaya’ sejak pembentangan Belanjawan 2025.

David Coady dan pasukannya di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2010 mendedahkan lebih 40 peratus subsidi petrol dimanfaatkan golongan berpendapatan 20 peratus teratas di negara-negara pendapatan rendah dan membangun.

Laporan kajian Ranjau Sepanjang Jalan (2024), tulisan Dr. Mohammed Abdul Khalid, Dr. Zouhair Mohd. Rosli dan Siti Nur Fatimahtul Maryam Abdul Halim menyebut “sebahagian besar subsidi bersifat regresif dan cenderung menguntungkan mereka yang kaya berbanding yang miskin, terutamanya subsidi elektrik serta bahan bakar”.

Apabila Perdana Menteri menyebut warga 15 peratus teratas pengguna maha kaya dalam konteks penyasaran subsidi, terjelma sejenis polemik sekitar perincian paras pemisah 15 peratus dan 85 peratus, siapa kalangan yang layak dan tidak layak menerima subsidi itu?

Oleh kerana lokus utama perbincangan ini berpusat di Dewan Rakyat, maka moleklah jika saya gunakan kias ahli Parlimen sebagai golongan berpendapatan tinggi. Contohnya, gaji mereka mencecah lima angka dan dilengkapkan dengan segala macam elaun.

Ahli parlimen tidak dikelola oleh peraturan yang mengekang mereka melakukan kerja luar seperti penjawat awam dan saya percaya kelola serupa diamalkan di kebanyakan syarikat swasta melalui jabatan atau unit sumber manusia. Keadaan ini membolehkan sumber pendapatan berganda kepada ahli Parlimen.

Keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut datang dengan gaji dan elaun mengikut ketetapan negeri masing-masing. Keadaan ini sekali lagi membolehkan sumber pendapatan berganda kepada ahli Parlimen.

Sumber pendapatan seorang ahli Parlimen juga bertambah apabila diberi amanah sebagai anggota pentadbiran kerajaan (menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, ahli mesyuarat kerajaan negeri).

Sumber pendapatan berganda membolehkan adanya lebihan selepas kos urusan sara hidup bulanan. Selepas satu sela masa, lebihan ini boleh digandakan melalui jalan pelaburan sekiranya cermat mengurus kewangan, harta dan berusaha meningkatkan kekayaan diri. Meminjam hujah perbahasan ahli Parlimen Bayan Baru, “Maka yang mempunyai aset akan menjadi lebih kaya”.

Tinjauan HSBC Affluent Investor Snapshot 2024 mendapati pelabur-pelabur mewah (individu dengan aset boleh labur antara ASD100,000 sehingga ASD2 juta di Malaysia) mempunyai purata lima produk pelaburan dan kelas aset dalam portfolio pelaburan mereka yang mengatasi purata global. 47 peratus daripada mereka berhasrat untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran-pasaran lain dan kadar ini juga lebih tinggi berbanding 41 peratus purata global. Pelabur-pelabur ini juga dilaporkan cukup aktif dalam portfolio pelaburan mereka. Maksudnya, golongan maha kaya wujud di Malaysia.

Oleh sebab itu, pengkelasan berdasarkan pendapatan mungkin tidak lagi praktikal kerana jelas khalayak maha kaya ini memperoleh dan mengumpul kekayaan bukan sekadar daripada perjawatan. Ini mustahak supaya paras pemisah yang ditetapkan kerajaan berpandukan ukuran yang lebih tepat.

DR. MUHAMMAD ASHRAF KHALID
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Pemutusan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya

Ulasan