Shah Alam, Klang sekali lagi dilanda banjir kilat


Shah Alam, Klang sekali lagi dilanda banjir kilat
Kawasan berdekatan Stadium Shah Alam di Seksyen 13. Shah Alam yang dinaiki banjir kilat ekoran hujan lebat lebih tiga jam, kelmarin. – MEDIA SOSIAL
Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL
14 November 2024, 7:40 am

KLANG: Hujan lebat luar biasa yang berlaku kelmarin dipercayai menjadi punca kepada beberapa kawasan dan jalan utama di sekitar Gombak, Damansara, Shah Alam dan Klang dilanda banjir kilat.

Curahan hujan itu dikatakan pada kadar kumulatif dua atau tiga hari hujan dalam masa sama mengakibatkan paras air meningkat kira-kira 0.6 meter dan menenggelamkan jalan-jalan utama sehingga menyebabkan kesesakan trafik lebih sejam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihak berkuasa sudah kenal pasti semua kawasan berisiko yang melakukan kerja-kerja pembinaan tebatan banjir.

“Baru-baru ini dalam peruntukan Belanjawan 2025 pun Kerajaan Persekutuan ada umumkan peruntukan untuk menangani banjir melibatkan kawasan di Kota Damansara.

“Tetapi, dari masa ke masa memang kerajaan negeri de­ngan kapasiti dan kemampuan yang sedia ada kita menggerakkan segenap upaya untuk menambah baik projek-projek tebatan dan mitigasi banjir.

“Pada masa sama kita hendak melengkapkan juga unit pengurusan bencana negeri untuk sebarang kesiapsiagaan sekiranya berlaku sebarang musibah atau bencana. Cuma kita tak boleh ramal cuaca kini macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau rumah pam di Taman Mutiara Bukit Raja 2, semalam.

Tambahnya, antara faktor lain turut menyumbang kepada insiden banjir kilat semalam adalah fenomena air laut pasang besar yang berlaku pada minggu ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan jalan-jalan utama di sekitar bandar raya ini dan Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam.

Antara kawasan terlibat termasuk Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam apabila paras air Sungai Damansara meningkat, selain turut dilanda banjir kilat di kawasan Setia Alam, Bukit Raja dan Meru dengan ketinggian sehingga 0.6 meter.

Mohd. Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, projek kolam takungan banjir di Taman Mutiara Bukit Raja 2 di sini yang sepatutnya siap pada 28 Oktober lalu dilaporkan mengalami kelewatan dan dijangka siap pada 6 Mac 2025.

Kelewatan itu berlaku apabila tahap pembinaannya kini hanya mencapai 25 peratus susulan terdapat isu teknikal seperti semakan rekaan dan kapasiti pam yang merangkumi kadar pelepasan air bagi memastikan parit-parit di Jalan Haji Sirat mampu menampung aliran keluar dari kolam taku­ngan itu. – UTUSAN

Ulasan