
Survival kedai buku Chowrasta
Anuar, 60, duduk di dalam kedai buku terpakai miliknya di Pasar Chowrasta, George Town, baru-baru ini. - MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
17 November 2024, 7:00 am
GEORGE TOWN: Hari itu sama seperti hari-hari sebelumnya, dua sahabat ini akan mundar-mandir di kedai menjual buku terpakai milik mereka di sebuah pasar yang berusia lebih 130 tahun di George Town, Pulau Pinang iaitu Pasar Chowrasta.
Sambil menunggu kehadiran pelanggan khususnya ‘ulat-ulat’ buku yang akan singgah di situ, rutin harian Anuar, 60, dan Nasir Ahmad, 57, ialah menyusun atur semula buku-buku yang bertimbun di kedai mereka selain keluar mendapatkan stok buku yang baharu jika ada.
Kecintaan dua sahabat itu terhadap dunia buku sebenarnya sudah bermula ketika usia remaja sebelum mereka nekad menyambung perniagaan menjual buku yang ditinggalkan oleh ahli keluarga lebih 30 tahun yang lalu.
Meskipun perniagaan tersebut masih bertahan sehingga ke hari ini, namun, kedua-dua akur dengan peredaran zaman khususnya kepesatan teknologi maklumat ketika ini sehingga buku yang dulunya dianggap sebagai antara sumber utama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan kini semakin dipinggirkan.
Anuar berkata, dia mewarisi perniagaan menjual buku terpakai itu daripada abangnya dan sehingga kini, kedai buku yang diusahakan secara bersama dengan Nasir itu masih mendapat sambutan walaupun kadang kala sambutan yang diterima agak ‘dingin’.
“Ikut nasiblah. Kadang-kadang masa cuti sekolah atau hujung minggu, memang ramai orang datang ke kedai buku kami dan beberapa kedai buku lain di Chowrasta ini.
“Jika nasib baik, dapatlah untung antara RM200 hingga RM300 sehari. Jumlah itu dikira sangat banyak buat masa ini sebab kadang-kadang tak dapat langsung. Sebenarnya, kebanyakan yang datang cuma untuk tengok-tengok atau bergambar sahaja.
“Dulu, kami ada juga buat khidmat sewa buku macam di perpustakaan untuk menarik orang ramai ke sini. Tapi, disebabkan banyak buku yang rosak, terkoyak dan tidak dipulangkan semula, maka, tiada lagi khidmat sewa buku,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Seorang pelanggan, Aness Izzati, meneliti buku-buku yang dijual di sebuah kedai buku terpakai Pasar Chowrasta. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN

Selain kedai buku yang diusahakan oleh dua sahabat itu, terdapat sekurang-kurangnya tujuh atau lapan buah lagi kedai buku lama dan terpakai di Pasar Chowrasta ketika ini.
Antara khazanah lama dan berharga yang dijual termasuk buku berkaitan sejarah seperti Kepimpinan & Melayu Pulau Pinang: Cabaran Masa Depan, buku-buku berkaitan pemimpin negara khususnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lain-lain.
Selain buku-buku lama dan terpakai dalam pelbagai bahasa, mereka juga menjual pelbagai majalah, komik, buku untuk kanak-kanak, kamus, ensiklopedia, koleksi puisi dan cerpen lama, permainan klasik dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, dianggarkan terdapat lebih 100,000 buah buku terpakai yang dijual di Pasar Chowrasta ketika ini.
Bagaimanapun, hampir semua kedai buku itu mengalami nasib yang sama dan hanya bergantung kepada kehadiran pelanggan tetap untuk mendapatkan koleksi buku-buku lama atau klasik yang sebenarnya jika dinilai secara halus, amat berharga sekali.
Pun begitu, antara sedar ataupun tidak, kewujudan kedai yang menjual buku-buku terpakai di sekitar George Town itu masih menggamit kehadiran pelancong termasuk dari luar negara untuk singgah walaupun hanya seketika.
Pernah miliki buku berharga RM40,000
Berbeza pula kisah seorang lagi penjual buku terpakai, Muhd. Firdaus Abdullah, 60, yang menjalankan perniagaan tersebut di kedai bukunya iaitu Tanjung Town Book Store, di Jalan Agryll, juga di tengah-tengah George Town.
Bermula daripada sekadar hobi iaitu mengumpul buku, Muhd. Firdaus kini memiliki lebih 20,000 koleksi buku lama yang sebahagian besarnya untuk dijual.
Muhd Firdaus Abdullah, 60, menunggu pelanggan sambil menyusun buku di kedai buku terpakai miliknya di Lebuh Clarke, baru-baru ini. – Mingguan/Iqbal Hamdan

Antara buku itu termasuk sebuah buku klasik yang diterbitkan pada tahun 1908 iaitu Twentieth-century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries and Resources.
Jelas Muhd. Firdaus, berdasarkan semakan yang dibuat, harga buku tersebut di laman lelong terkemuka, e-Bay kini sudah mencecah RM40,000.
“Buku-buku ini (yang dijual di kedai) saya dapat daripada pelbagai sumber. Dulu banyak dapat daripada perpustakaan. Ada juga ambil dari luar dan tempat-tempat tertentu. Tapi sekarang agak susah untuk mendapatkan buku lama yang berkualiti,” katanya yang pernah menjual buku di kaki lima ketika zaman remaja.
Bagaimanapun, seperti peniaga-peniaga buku terpakai yang lain, Muhd. Firdaus juga terkesan dengan perkembangan teknologi semasa yang sekaligus meminggirkan buku daripada menjadi bahan bacaan harian generasi muda ketika ini khususnya.
“Walaupun ada anak-anak saya yang berminat untuk mewarisi perniagaan ini, kami masih mengekalkan tradisi iaitu hanya menjual buku di kedai buku kerana sambutan yang diterima masih baik terutamanya ketika musim cuti sekolah.
“Dulu memang saya pernah jual buku secara dalam talian terutamanya ketika zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) semasa Covid-19 dan ketika itu sambutan sangat memberangsangkan kerana orang ramai digalakkan duduk di rumah sahaja.
“Namun, apabila era PKP berakhir, bisnes buku secara online kurang mendapat sambutan. Mungkin terpaksa bersaing dengan buku-buku digital atau dalam bentuk ‘pdf’. Jadi, kami memilih untuk berniaga seperti biasa sahaja di kedai buku ini,” katanya.
Selain buku klasik yang dicetak pada tahun 1908 itu, Muhd. Firdaus turut menyimpan beberapa khazanah berharga lain dan ada sesetengah daripada bahan bacaan itu telah dijual.
Antaranya termasuk buku dokumentasi berkenaan masyarakat pribumi Sarawak yang diterbitkan pada 1957 serta akhbar Warta Negara cetakan 2 Jun 1954 yang menceritakan mengenai majlis kemahkotaan Ratu England, Queen Elizabeth ke-11 dengan Tanah Melayu yang ketika itu masih di bawah pentadbiran British.
Pada masa yang sama, Muhd. Firdaus juga memiliki ratusan koleksi majalah hiburan lama seperti Varia Pop, URTV dan lain-lain termasuk edisi khas dan sebagainya.
Buku lama ada nilai sentimental
Bagi seorang pesara guru, Abdul Malik Abidin, 61, buku-buku lama khususnya yang berkaitan sejarah, peradaban serta susur-galur sesuatu peristiwa itu mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia gemar singgah ke mana-mana kedai buku terpakai semata-mata untuk mencari bahan bacaan berkenaan.
“Dulu, saya pernah mengajar subjek Sejarah dan walaupun sudah bersara, saya masih mempunyai pelbagai koleksi bacaan di perpustakaan mini di rumah saya.

“Membaca dan memiliki buku-buku ini bagi saya bukan hanya mengembalikan nostalgia, namun, dapat mengingatkan kita mengenai apa yang pernah ditempuh oleh generasi terdahulu sebelum dapat mencapai sesuatu yang bermakna seperti kemerdekaan,” ujarnya.
Tambah Abdul Malik, dia juga tidak kisah berhabis wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan koleksi buku lama yang diinginkannya.
Pendapat yang sama turut dikongsi oleh seorang pekerja swasta, Albert Tan, 38, yang beranggapan bahawa buku-buku lama dan terpakai ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
“Seelok-eloknya diwujudkan satu galeri khas untuk menempatkan buku-buku lama terutamanya membabitkan sejarah Pulau Pinang, Malaysia dan pemimpin-pemimpin negara untuk tatapan serta rujukan buat generasi akan datang,” jelasnya.
Ulasan
Catat Ulasan