Taufan keempat landa Filipina dalam sebulan
November 11, 2024 @ 3:03pm
Gambar tangkapan layar daripada rakaman video yang diterima dari pejabat Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran Dinalungan (MDRRMO) menunjukkan pekerja kerajaan berjalan sambil mengelak pokok pisang yang tumbang di sebuah lebuhraya di Dinalungan, Wilayah Aurora, Selepas Taufan Toraji Melanda Pantai Timur Laut Filipina. - Foto AFP
MANILA: Ribuan penduduk kampung diarahkan berpindah dan pelabuhan ditutup sebagai persediaan menghadapi taufan keempat melanda Filipina dalam tempoh sebulan.
Menurut agensi cuaca negara, tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan ketika Taufan Toraji melanda pantai timur laut negara berhampiran bandar Dilasag, kira-kira 220 kilometer (km) ke timur laut ibu negara, Manila.
Ketua Pertahanan Awam bandar Dinalungan dekat Dilasag, Merwina Pableo, berkata kawasan itu dilanda angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan beberapa pokok tumbang dan bekalan elektrik dipotong sejak semalam.
"Kami belum boleh keluar untuk membuat penilaian kerosakan," katanya.
Sementara itu, pegawai operasi bencana, Donald Allan Ty, berkata sekurang-kurangnya 1,400 orang dipindahkan dari kawasan pesisir pantai dan erta kawasan terdedah banjir serta tanah runtuh di Dinalungan selain perbandaran Baler berdekatan.
"Secara keseluruhan, kerajaan mengarahkan 2,500 kampung dipindahkan semalam, walaupun pejabat bencana negara tidak mempunyai jumlah keseluruhan pemindahan setakat hari ini," katanya.
Toraji membawa angin maksimum 130km sejam (km/j), bergerak ke barat laut dengan pantas dan diramalkan bertiup ke Laut China Selatan lewat hari ini selepas membelah kawasan pedalaman pergunungan pulau utama Luzon, menurut perkhidmatan cuaca.
Sekolah dan pejabat kerajaan akan ditutup di kawasan yang dijangka paling teruk dilanda taufan terbaharu itu.
Menurut kiraan pengawal pantai, hampir 700 penumpang terperangkap di pelabuhan dan perkhidmatan cuaca memberi amaran bahawa perjalanan laut adalah berisiko untuk semua jenis kapal.
"Semua pelayar harus kekal di pelabuhan atau jika sudah belayar, mencari perlindungan atau pelabuhan yang selamat secepat mungkin sehingga angin dan ombak reda," katanya.
Selepas Toraji, satu lagi bencana tropika berkemungkinan melanda kawasan itu seawal malam Khamis, menurut pegawai ramalan cuaca, Veronica Torres.
Taufan Tropika Man-yi, yang kini berada di timur Guam, juga berkemungkinan mengancam Filipina minggu depan.
Toraji datang selepas tiga taufan dalam tempoh kurang sebulan yang mengorbankan 159 orang.
Pada Khamis, Taufan Yinxing melanda pantai utara negara itu, merosakkan rumah dan bangunan, menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut.
Sebelum itu, Ribut Tropika Trami dan Taufan Super Kong-rey menyebabkan 158 orang terkorban.
Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda negara kepulauan atau perairan sekitarnya setiap tahun.
Satu kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa ribut di rantau Asia-Pasifik membentuk semakin dekat dengan garis pantai, bertambah kencang dengan lebih pantas dan bertahan lebih lama di atas daratan akibat perubahan iklim. - AFP
Ulasan
Catat Ulasan