Tembok sempadan: Kelantan perlukan RM445.7 juta ambil balik tanah


Tembok sempadan: Kelantan perlukan RM445.7 juta ambil balik tanah
November 17, 2024

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM445.7 juta bagi kos pengambilan balik tanah sepanjang 99 kilometer sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata usaha tersebut penting bagi menangani isu keselamatan rentas sempadan dan masalah banjir.

“Kita serius untuk menangani dan membanteras jenayah penyeludupan serta mengatasi kejadian banjir di kawasan Sungai Golok sepanjang 99km sempadan negara Malaysia Thailand.

“Cadangan pembinaan tembok dan zon penampan adalah amat relevan untuk mengatasi masalah ini dengan anggaran kos sebanyak RM445.7 juta untuk kos pengambilan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pada program Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) anjuran Kementerian Ekonomi di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Dato’ Dr Zunika Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad.

RMK13 merupakan perancangan pembangunan negara dalam tempoh lima tahun bermula 2026 sehingga 2030 untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan adil dapat direalisasikan di seluruh negara.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok

Usaha itu bagi membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram. – HARAKAHDAILY 17/11/2024

Ulasan