Trump pilih aktivis antivaksin ketuai agensi kesihatan AS



Trump pilih aktivis antivaksin ketuai agensi kesihatan AS
Oleh Wartawan Luar Negara
15 November 2024, 1:13 pm

NEW YORK: Presiden terpilih, Donald Trump memilih aktivis alam sekitar dan antivaksin, Robert F. Kennedy Jr. untuk mengetuai Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS), agensi kesihatan utama Amerika Syarikat (AS).

Kennedy bertanding untuk jawatan presiden pada pilihan raya tahun ini sebagai calon Bebas, sebelum menarik diri dan menyokong Trump sebagai pertukaran untuk mendapatkan peranan dalam pentadbiran Republikan.

“Keselamatan dan kesihatan semua rakyat Amerika adalah peranan paling penting bagi mana-mana pentadbiran, dan HHS akan memainkan peranan dalam memastikan setiap orang dilindungi daripada bahan kimia berbahaya, pencemar, racun perosak, produk farmaseutikal dan bahan tambahan makanan yang menyumbang kepada krisis kesihatan negara,” kata Trump dalam hantaran di media sosial.

Kennedy sering bercakap mengenai usaha menangani wabak penyakit kronik yang melibatkan keadaan seperti obesiti, diabetis dan autisme serta mengurangkan bahan kimia dalam makanan.

HHS menyelia peraturan dadah, agensi kesihatan awam termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) serta insurans kesihatan untuk lebih 140 juta orang meliputi golongan miskin, mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan orang kurang upaya melalui Medicara dan Medicaid.

Jabatan itu mempunyai belanjawan sebanyak AS$3.09 trilion (RM13.8 trilion) untuk tahun kewangan 2024, yang mewakili 22.8 peratus daripada belanjawan Persekutuan AS.


Pelantikan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa penyokong kesihatan awam yang menganggap Kennedy mungkin memainkan peranan negatif dalam kesihatan rakyat AS, memandangkan kuasanya terhadap agensi berkenaan.

Parti Demokrat mengkritik keputusan itu, namun beberapa ahli politik dan kumpulan perniagaan menyokongnya, termasuk Persatuan Ahli Farmasi Komuniti Kebangsaan.– REUTERS

Ulasan