Adun Sabah dakwa video disunting, anggap diri 'kurang handsome'



Berita
Adun Sabah dakwa video disunting, anggap diri 'kurang handsome'
Diterbitkan: Dec 4, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Seorang Adun Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah di negeri itu hari ini memberitahu, dia tidak akan mengelak daripada hadir memberi keterangan kepada pihak berkuasa jika diperlukan berbuat demikian.

Kata Masiung Banah, dia hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung video tular yang mengaitkan dirinya.

Menurut Adun Kuamut itu lagi dia tidak dapat memberikan kenyataan lebih lanjut kerana mahu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"Saya juga masih bersedia jika ada keperluan untuk SPRM memanggil saya semula bagi memberi penjelasan.

"Saya berjanji sekiranya saya dipanggil semula, saya takkan berpura-pura sakit, saya takkan minta tunda, dan saya harus bertanggungawab kepada apa juga yang berlaku," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Masiung berkata demikian selepas selesai menemui pegawai SPRM yang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Dia yang memenangi kerusi Kuamut sebagai calon bebas pada 2020 juga menganggap video yang didedahkan pembocor maklumat semalam tidak memberikan gambaran penuh mengenai apa yang berlaku.

Kata Masiung, apa yang dipaparkan dalam video itu lebih memihak kepada individu yang membuat aduan.

Justeru, katanya, dia menggesa pengadu datang sendiri bertemu SPRM dan membekalkan pihak berkuasa terbabit dengan video yang lengkap supaya keadaan sebenar dapat dilihat.

"Pada pengamatan saya, video yang dipertontonkan oleh SPRM seolah-olah sudah disunting, diedit, kerana ada perkataan-perkataan atau perbincangan yang tak termasuk di sana, dan cerita itu berpihak kepada si pengadu

"Sebagai contoh, di dalam video itu saya nampak kurang handsome padahal kalau yang betul saya handsome daripada apa yang ada dalam video tersebut," katanya secara sinis.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai rakaman video yang melibatkan Masiung.

Dalam video tersebut pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) Sabah itu ditanya pembocor maklumat mengenai cara dia boleh memulangkan wang berjumlah RM400,000 yang diberikan kepadanya.

Masiung kemudian menjawab: "Tengoklah. Jika saya ada wang itu, saya pulangkan. Tapi sekarang saya tiada."

Pemberi maklumat kemudian mencadangkan alternatif: "Jika Datuk tiada wang, bagaimana kita boleh teruskan... tukar syarikat? Atau jangan guna nama saya?"

"Tukar syarikat, kita cuba," jawab Adun itu, "tukar syarikat, orang saya akan uruskan. Kamu tetap di luar."

Itu adalah satu daripada tujuh video yang dikeluarkan oleh pembocor maklumat terbabit dengan setiap video memaparkan wakil rakyat yang berbeza.

Individu berkenaan mendakwa Adun Sabah telah menerima rasuah daripadanya untuk menyokong usaha dia mendapatkan lesen cari gali mineral di negeri berkenaan.

Malam tadi, Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, yang turut terkait dengan dakwaan tersebut sudah secara sukarela memberikan kenyataan kepada SPRM.

Dia menafikan menerima rasuah RM300,000 dan mengaku tidak tahu-menahu mengenai pembantunya yang meminta agar pembocor maklumat berkenaan untuk "reserve RM1 juta" dalam rakaman video itu.

Ulasan