Agong ada kuasa tentukan titah adendum benar wujud
ABU TALIB OTHMAN
Oleh AMINUDDIN LOKMAN HAKIM
12 Disember 2024, 6:48 am
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan sekiranya benar titah adendum itu wujud berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, kuasa pengampunan yang terletak pada Seri Paduka Baginda adalah prerogatif yang mesti diputuskan dengan teliti selepas mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak, termasuk Majlis Raja-Raja dan pegawai undang-undang kerajaan.
Beliau berkata, Perlembagaan jelas memperuntukkan kuasa ini kepada Agong, tetapi keputusan mesti dibuat dengan penuh kebijaksanaan.
Katanya, ini termasuk mendengar pandangan undang-undang yang diberikan oleh Peguam Negara serta pertimbangan menyeluruh terhadap implikasi keputusan itu terhadap masyarakat.
“Namun kita harus tunggu keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan isu berkenaan
“Keputusan akhir terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, tetapi ia mestilah berdasarkan kepada perbincangan menyeluruh. Rakyat perlu faham, ini adalah proses yang melibatkan semua pihak demi menjamin keadilan dan kesejahteraan negara,” jelas beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Abu Talib turut menyatakan keputusan berhubung perkara seperti ini jarang berlaku, menjadikan perbincangan dan penelitian lebih penting sebelum keputusan akhir dibuat.
“Dalam hal ini, meskipun kuasa prerogatif itu wujud, ia tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya.
“Setiap keputusan perlu mengambil kira keadilan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
“Agong sentiasa bertindak dalam kerangka undang-undang yang adil dan saksama. Baginda juga berkemungkinan menyerahkan hal ini kepada Agong yang baharu sekiranya dirasakan lebih sesuai,” tambahnya.
Perbincangan mengenai titah adendum dan kuasa pengampunan semakin hangat diperkatakan selepas beberapa isu membabitkan kes mahkamah dan keputusan pengampunan menjadi perhatian rakyat.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memandangkan perkara itu terus dibangkitkan, beliau mencadangkan ia dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk pertimbangan.
“Saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang, pada masa yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda, merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekarang.
“Sebagai orang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya, siapa pun berhak untuk diberikan pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan yang disebut fountain of mercy,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan