
Air mata hidupkan semangat mangsa tsunami 2004 di Aceh
Disember 25, 2024 @ 8:47am
Gambar fail keadaan Banda Aceh yang dilanda tsunami pada 26 Disember 2004. - Foto Reuters
MENYAKSIKAN kesan badai tsunami pada 26 Disember 2004 adalah catatan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan petugas media. Hal ini kerana mereka turut diuji emosi sebagai manusia ketika membuat liputan tragedi. Ikuti pengalaman yang dikongsi bersama Pengarang Berita BH, Wan Jailani Razak, antara wartawan terawal dari Malaysia yang tiba di Aceh, seminggu selepas tsunami.
Sejurus pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di Blang Bintang, Aceh, pasukan penyelamat dan saya yang menyertai misi kedua kemanusiaan bergegas mengeluarkan barangan bantuan dari pesawat.
Hal ini kerana kehadiran pesawat atas nama kemanusiaan menyebabkan berlaku kesesakan trafik di udara dan landasan lapangan terbang itu sehingga memaksa beberapa penerbangan asing terpaksa ditangguh.
Dengan keluasan kira-kira sebesar Lapangan Terbang Ipoh, lapangan terbang itu dianggarkan mengendalikan tidak lebih 20 penerbangan sehari.
Berbekalkan semangat tinggi untuk berkhidmat, seramai 100 anggota penyelamat yang menyertai misi berkenaan kemudian menghadiri satu taklimat mengenai operasi bagi menyambung tugasan misi pertama.
Misi itu disertai pegawai Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat, paramedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Global Peace Malaysia dan wartawan.
Ketika remang senja itu, pastinya bukan mudah untuk menolak ketepi rasa sedih dan simpati apabila angin yang bertiup membawa bersama bau sisa mayat yang hampir menyesakkan nafas, sambil mata melihat di sekeliling kalau ada tubuh terkujur di bawah ratusan kepingan papan dan zink.
Saya melihat ada penduduk kampung hanya berkain dan tidak berbaju bagi lelaki dan kanak-kanak pula tanpa berselipar meluru ke arah bunyi deruan pesawat yang terbang rendah untuk menantikan kotak berisi makanan dan bantuan lain dijatuhkan dari pesawat.
Bagaikan 'rezeki jatuh dari langit'. Perebutan sesama mereka bukan lagi keadaan luar biasa.
Mayat mangsa reput di merata-rata tempat
Dari sudut lain, cabaran getir terpaksa dihadapi pasukan penyelamat apabila melihat mayat mangsa yang semakin reput di merata-rata tempat, termasuk operasi mengeluarkan mayat dari runtuhan bangunan dan rumah.
Saya masih ingat, mayat mangsa bencana bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga tersepit di celah runtuhan bangunan. Inilah kawasan bencana yang paling teruk pernah dilalui.
Pasukan penyelamat juga terpaksa berhati-hati mengeluarkan mayat dari celah runtuhan kerana kebanyakannya sudah reput. Ketika itu, operasi menyelamat dan mengumpulkan mayat belum bermula.
Sebelum masuk waktu Subuh, saya singgah di rumah anak yatim dikenali Dayah Daruzzahidin di Desa Lanceu, Kuta Baro Kapupalen, Aceh Besar.
Di situ, saya melihat anak yatim tidur bergelimpangan, tetapi lena. Tikar mengkuang ibarat tilam empuk. Kain pelikat dijadikan selimut. Bilik pustaka seperti kamar yang selesa.
Begitulah nasib 78 anak yatim yang berhimpit tidur dalam sebuah bilik pustaka kecil yang dijadikan kamar di rumah anak yatim berkenaan.
Kehadiran saya bersama pasukan tinjauan Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta pasukan bomba dan penyelamat di situ, 10 minit sebelum solat Subuh, langsung tidak mereka sedari.

Saya sempat merakamkan aksi tidur mereka dengan sesetengahnya bersilang kaki antara satu sama lain.
Malah, ada antara mereka yang berusia di antara tujuh dan 18 tahun agak liat untuk bangun ketika penyelianya mengejutkan mereka daripada tidur.
Sejak 26 Disember lalu, rumah itu dianggap satu-satunya tempat mereka berteduh selepas kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang terkorban akibat tsunami.
Keesokannya dan hari seterusnya, saya menemu bual mangsa tsunami yang sebelum itu berlindung di lereng sebuah gunung jauh dari daerah Meulaboh. Mereka hanya ada dua pilihan, sama ada terus berlindung dan sedia menghadapi kemungkinan mati kebuluran atau meneruskan perjalanan jauh lagi beranjau untuk mendapatkan bantuan walaupun ombak besar mungkin datang lagi.
Pilihan sukar hidup mati itu mesti dibuat walaupun menyedari gempa masih berlaku.
Kebimbangan mereka berasas kerana bencana gempa dan tsunami kini membanjiri Aceh dengan air mata dan kesedihan yang pilu. Ramai penduduk tidak berani kembali ke rumah.
Tetapi bagi Nasharuddin Sultan, 44, dari Meulaboh, dia memilih untuk mendapatkan bantuan.
Kerana itu, dia terpaksa berjalan kaki meredah hutan, menuruni bukit dan menyusuri sungai selama 10 hari untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik sementara yang baru dibuka di situ.
Mengetepikan duka kerana kehilangan 23 ahli keluarganya dalam bencana gempa dan tsunami, dia mengerah kudrat untuk ke situ menyebabkan cedera pada kakinya semakin parah.
Itulah kesimpulan cerita daripada kebanyakan mereka yang terselamat ketika ditemui di Banda Aceh. Mereka yang terselamat hanya mampu meratap sedih dan menangis.
Bencana gempa dan tsunami pernah membanjiri Aceh dengan air mata, tetapi mereka tidak bersedih keseorangan kerana seluruh dunia turut berduka.
Hari ini, air mata penduduk Aceh adalah kekuatan menghidupkan semula semangat yang direntap. Mereka nekad menjadikannya kenyataan kerana hukum alam tidak lebih daripada ujian untuk menjadi lebih kuat.
Ulasan
Catat Ulasan