
Amal Johor, MP Kelantan hulur bantuan banjir
December 21, 2024
TUMPAT: Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di Kelantan, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional negeri ini tampil menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut, hari ini.
Lawatan ini diketuai oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, bersama Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Mat Nawi dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mereka telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Kajang Sebidang, termasuk satu keluarga yang rumahnya musnah teruk akibat banjir.
Mangsa, Norhalini Zahari, 28 tahun, dan suaminya, Mohd Azri Ismail, 29 tahun, bersama dua anak kecil mereka serta lima ahli keluarga lain, terpaksa menumpang sementara selepas rumah mereka runtuh akibat banjir.
Norhalini berkongsi pengalaman getir apabila paras air naik hingga ke paras pinggang di dalam rumah, menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan banyak harta benda.
“Kami sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan. Kehadiran pemimpin dan sukarelawan memberi kami harapan untuk membina semula kehidupan,” katanya dengan nada sebak.
Dalam masa yang sama, Jabatan Amal Johor turut hadir dengan kekuatan seramai 41 sukarelawan untuk bergotong-royong membina semula rumah keluarga tersebut.
Kehadiran mereka mendapat pujian daripada penduduk setempat yang kagum dengan usaha murni dari luar negeri Kelantan.
Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan dan memberikan kata-kata semangat kepada mangsa.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu mangsa banjir, terutamanya mereka yang kehilangan tempat tinggal.
“Bencana ini adalah ujian besar bagi rakyat Kelantan. Namun, kami berjanji akan terus membantu mangsa banjir dengan apa sahaja kemampuan yang ada.
“Usaha seperti ini mencerminkan semangat kerjasama dan kasih sayang sesama rakyat,” ujar Datuk Takiyuddin mewakili Ahli-ahli Parlimen PN.
Dato’ Mumtaz turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Amal Johor dan semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa.
“Kehadiran sukarelawan ini adalah bukti solidariti rakyat Malaysia. Kerjasama sebegini sangat penting untuk memastikan keluarga yang terjejas dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Program bantuan ini bukan sahaja meringankan beban mangsa tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat terhadap pentingnya berganding bahu dalam menghadapi kesusahan.
Bantuan segera ini diharapkan dapat membantu keluarga mangsa untuk kembali bangkit selepas musibah yang menimpa. – HARAKAHDAILY 21/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan