Banjir akan jadi ‘acara’ tetap setiap tahun?
Oleh Aznan Bakar
8 Disember 2024, 7:07 am
BANJIR yang melanda di sembilan negeri minggu lepas meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada mereka yang terlibat. Biarpun majoriti imej yang dipaparkan di media sosial menunjukkan seolah-olah ia musim untuk berpesta dengan pelbagai gelagat, tetapi realitinya banyak kemusnahan yang berlaku.
Dari segi kehilangan nyawa mungkin tahun ini kita bersyukur kerana tidak seperti negara jiran, Thailand di mana lebih 20 orang maut, namun kerosakan dan kerugian yang ditanggung mangsa terlibat cukup besar.
Lihat apa yang berlaku di sebuah kampung di Tumpat, Kelantan yang seolah-olah dilanda tsunami. Jambatan hanyut, jalan kampung semua rosak, rumah roboh, kedai lenyap dan macam-macam.
Ada dalam kalangan mangsa yang terputus sumber rezeki apabila bangunan kedai roboh dan tanaman musnah akibat banjir.
Nilai kerosakan bukannya sedikit. Walaupun tidak ada angka rasmi namun ia pasti mencecah bilion ringgit. Bagi pesawah di empat negeri terbabit kerugian akibat padi yang rosak sahaja sudah lebih RM30 juta. Itu belum ambil kira harta benda yang lenyap dihanyutkan air.
Persoalannya sekarang, adakah perkara ini akan berulang setiap tahun? Ada tragedi rumah roboh, tanaman rosak dan kampung tenggelam akan menjadi ‘acara’ yang perlu dilalui oleh penduduk terbabit setiap tahun.
Memang ada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, tetapi adakah ia mencukupi untuk menampung segala kos kemusnahan berlaku? Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga memberi jaminan akan membaik pulih atau membina baharu rumah yang rosak, tetapi bagaimana pula dengan musim banjir tahun hadapan? Adakah setiap tahun perlu baiki dan bina rumah baharu? Apakah langkah mitigasi yang boleh diambil untuk pastikan kesan banjir pada masa akan datang tidak mendatangkan kemusnahan yang teruk seperti sekarang?
Ini kerana banjir adalah fenomena cuaca. Dan cuaca yang sama ini pasti akan berulang setiap tahun. Dan jika tidak ada langkah-langkah diambil, banjir ini pasti akan menjadi acara tahunan.
Untuk melaksanakan projek tebatan banjir pula kerajaan berkata memerlukan kos hampir RM400 bilion, yang mana kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, tidak setimpal dengan peruntukan tahunan yang diterima kerajaan pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung kos sebesar itu. Ini memaksa pelaksanaan projek dilakukan mengikut keutamaan.
Adakah ini bermakna hampir 200,000 rakyat yang menderita akibat banjir baru-baru ini perlu menerima hakikat bahawa ia adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk mengelak atau mengatasinya.
Jika projek tebatan itu tidak dapat dilaksanakan, mungkin pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang diberikan mandat untuk mentadbir negeri oleh mangsa-mangsa banjir itu memikirkan atau menyediakan satu penyelesaian supaya, andai berlaku banjir sekalipun kemusnahan dan kerosakan dapat dimiminumkan.
Bagi rakyat pula, terimalah banjir ini sebagai ‘acara’ tetap yang perlu ditempuhi setiap tahun.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan