Berang kenderaan mahu ditarik, wanita bakar motor
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi - Disember 27, 2024 @ 7:39am
Anggota BBP Taiping bertindak memadamkan kebakaran sebuah motosikal di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping yang dibakar seorang wanita. - Foto ihsan BOMBA
TAIPING: Berang motosikal mahu ditarik, seorang peniaga bertindak gila membakar motosikal miliknya di Jalan Masjid, Pokok Assam, di sini, petang Khamis.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3.30 petang itu berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa individu lelaki dipercayai penarik kenderaan ingin menarik sebuah motosikal milik peniaga di situ.
Melalui rakaman video yang tular difahamkan motosikal berkenaan sudah lama tertunggak namun pemiliknya enggan memberi kerjasama apabila kenderaan itu hendak ditarik.
Dalam kekecohan itu seorang wanita berusia lingkungan 40-an dipercayai pemilik motosikal berkenaan telah bertindak mencurahkan minyak petrol ke motosikal jenis Honda RSX sebelum membakarnya.
Kebakaran itu kemudiannya dipadamkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan motosikal berkenaan mengalami kebakaran lebih 80 peratus.
Bagaimanapun difahamkan pemilik motosikal berkenaan kini telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut kerana khianat dengan api.
Terdahulu tular di media sosial apabila seorang wanita bertindak membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX miliknya berhampiran sebuah gerai di Pokok Assam, Taiping.
Difahamkan kejadian berlaku setelah pemilik enggan memberi kerjasama kepada penarik kenderaan ingin menarik motosikal terbabit kerana mengalami tunggakan beberapa bulan.
Ulasan
Catat Ulasan