Bersatu boleh kemuka semakan kehakiman
03 Disember 2024 07:30am
Masa membaca: 3 minit
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh melakukan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah dengan mengemukakan bukti bahawa SPRM menggunakan kuasa secara menyalahi undang-undang.
Peguam, KK Baraneetharan berkata, sekiranya harta yang disita melebihi tempoh yang diperuntukkan bawah undang-undang tanpa sebarang pertuduhan dibuat, isu yang boleh dibangkitkan ialah ketidakpatuhan undang-undang oleh SPRM.
Menurutnya, wang yang disita perlu dipulangkan kepada pemilik akaun sekiranya tiada pertuduhan dibuat terhadap Bersatu bermula dari Januari 2023 sehingga kini.
“Itu antara opsyen yang boleh dilakukan Bersatu berkenaan kes yang dihadapi.
“Dalam kes ini, tempoh wang dalam akaun yang pada mulanya dibekukan dan kemudian disita melebihi 12 bulan, namun parti tersebut tidak atau belum dituduh untuk apa-apa kesalahan.
“Dari aspek siasatan, tidak ada masalah untuk membekukan atau menyita harta seseorang sekiranya mereka disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Namun, orang disyaki sepatutnya dituduh di bawah akta sama sebelum tamat tempoh yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.
Pengamal perundangan dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir itu jelaskan, sekiranya undang-undang menetapkan tempoh masa sesuatu aset atau harta boleh dibekukan dan disita, peruntukan undang-undang tersebut wajib dipatuhi.
“Dalam kes ini, isu yang boleh dihujahkan adalah tempoh masa harta-harta boleh dibekukan dan disita oleh SPRM.
“Remedi yang boleh diberikan oleh hakim yang mendengar semakan kehakiman adalah berdasarkan Jadual 1, Akta Kehakiman 1964 di mana antara lain beliau berkuasa membuat apa-apa perintah atau deklarasi yang memihak kepada pihak yang terjejas sekiranya kes itu dapat dibuktikan,” jelasnya lagi.
Baraneetharan berkata, sekiranya kes dapat dibuktikan dan relif yang dipohon adalah untuk memulangkan wang disita, SPRM perlu mematuhi perintah yang dibuat oleh mahkamah.
“Tindakan SPRM membekukan akaun dan menyita duit dalam akaun Bersatu itu dibuat berlandaskan Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.
“Seksyen 50 (1) AMLATFPUAA 2001 pula membenarkan pendakwaraya untuk sita atau memerintahkan sesebuah institusi kewangan membekukan wang dalam akaun bank sekiranya disyaki hasil daripada aktiviti yang menyalahi Akta tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001 secara keseluruhannya tidak memperuntukkan secara spesifik kriteria untuk wang yang disita atau dibekukan dipulangkan kepada orang disyaki melakukan kesalahan.
“Namun, Seksyen 52A akta sama memperuntukkan secara am tempoh harta-harta yang disita boleh disimpan iaitu 12 bulan dari tarikh perintah menyita dikeluarkan sekiranya tiada pertuduhan dalam tempoh tersebut,” tambahnya.
Pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, Bersatu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap SPRM dan bank terlibat susulan pembekuan akaun parti itu sejak Januari 2023.
Sebelum ini, dua akaun Bersatu dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023, disita SPRM pada 11 April tahun sama untuk tindakan lanjut.
SPRM memaklumkan, sitaan dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001 kepada pihak bank.
Ulasan
Catat Ulasan