Bukan tidak tahu tetapi sengaja langgar



Bukan tidak tahu tetapi sengaja langgar
Oleh Ismail Daud
3 Disember 2024, 7:07 am


TEGURAN Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap papan iklan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara yang memaparkan bahasa Cina dengan sedikit terjemahan bahasa Inggeris tanpa sepatah pun perkataan dalam bahasa Melayu mengundang perdebatan.

Ramai yang bersetuju tetapi tidak kurang juga yang melihat perkara itu sebagai tidak perlu dilayan termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Agak mengecewakan apabila menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap seni dan budaya negara menganggap isu itu sebagai kecil. Beliau merasakan penggunaan bahasa Cina itu sebagai lambang kepelbagaian kaum di Malaysia.

Kita boleh faham mengapa beliau cuba memberi keselesaan kepada pelancong China tetapi tidak pernah kita dengar pelancong tidak mahu datang ke sini kerana faktor bahasa. Malah, kebanyakan pelancong asing yang datang ke sini cuba mempelajari belajar bahasa Malaysia. Mereka pasti cuba mengucapkan ‘terima kasih’ apabila berurusan dengan warga tempatan

Pelancong datang ke sini adalah untuk merasai keunikan negara ini terutama adat, budaya dan makanannya, bukan kerana ada kedai yang papan iklannya dalam bahasa mereka.

Menambah kemarahan mereka yang tidak bersetuju itu ialah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan tindakan penguatkuasaan. Operasi itu membabitkan pematuhan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 yang menyebut, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan. Namun, undang-undang itu juga menyebut, penggunaan bahasa asing dalam satu papan tanda atau iklan sama tidak dilarang.

Ada juga yang menyifatkan tindakan DBKL itu sebagai pahat dengan penukul. Sudah ditegur oleh pemimpin, barulah hendak melakukan penguatkuasaan. Jika tidak, dibiarkan sahaja. Benarkah DBKL tidak buat kerja atau peniaga sebenarnya yang tidak mengikut peraturan?

Sebagai peniaga, adalah menjadi tanggungjawab mereka mematuhi undang-undang sedia ada sebelum memulakan perniagaan. Mereka sepatutnya tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak dibenarkan. Ini termasuk dalam soal mendapatkan permit iklan dan papan tanda perniagaan mereka.

Kalau ikut logik, tidak mungkin DBKL akan meluluskan papan tanda yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan kerana itu syarat utama. Namun, di sebalik tahu undang-undang perlu patuhi, ramai peniaga yang memilih untuk sengaja melanggarnya. Mereka melihat, dengan premis perniagaan yang banyak, tidak mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu memantau semuanya. Atas ‘sifir’ itu, peniaga mencuba nasib. Kalau nasib baik, mereka tidak kena tindakan tetapi kalau nasib tak baik, kena kompaun, baru mohon permit.

Sepatutnya, peniaga perlu ada rasa tanggungjawab. Mematuhi undang-undang bukan sahaja menjadikan anda warganegara yang baik tetapi memberi ketenangan dalam berniaga. Tidak perlu risau akan disaman dan diserbu.

Dalam soal penggunaan bahasa kebangsaan, selepas 67 tahun merdeka, perkara itu tidak wajar menjadi atau dijadikan isu. Itu identiti kita. Kita utamakan bahasa kita tetapi kita tidak pernah meminggirkan bahasa-bahasa lain.

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan