Cukai taksiran Selangor naik 25% bermula Januari
NG Suee Lim ditemui pemberita pada sidang akhbar Pengumuman Pelaksanaan Nilai Cukai Taksiran Baharu PBT Selangor mulai tahun 2025 di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
10 Disember 2024, 6:30 am
SHAH ALAM: Nilai cukai taksiran baharu bagi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor yang melibatkan kenaikan sehingga 25 peratus akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan.
Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaannya dibuat pada tahun depan selepas ia tertangguh lima tahun selaras dengan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Contohnya, kalau sebuah rumah itu cukai taksirannya tahun ini adalah RM100 setahun, maka pemilik rumah tersebut perlu membayar cukai taksiran mulai tahun hadapan adalah RM125.
“(Ia) Selepas mengambil kira bantahan serta melihat keadaan ekonomi majoriti rakyat negeri ini, justeru PBT bersetuju untuk naikkan nilai cukai taksiran baharu sebanyak 25 peratus sahaja,” dalam sidang akhbar diadakan di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.
Jelasnya, cukai taksiran baharu perlu dilaksanakan dan peningkatannya termasuklah melibatkan kos pengurusan sisa pepejal yang dilaksanakan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang diperbaharui pada setiap tujuh tahun.
Selain itu, kos pengurusan kemudahan awam dan pembinaan infrastruktur baharu selain pembersihan parit dan longkang yang meningkat turut menjadi faktor pelaksanaan nilai baharu cukai tersebut.
“Semua PBT diarahkan untuk menyenaraikan lima projek baharu pembinaan kemudahan awam di kawasan mereka pada Januari tahun depan,” tegasnya.
Bagaimanapun, Suee Lim menegaskan kenaikan cukai taksiran itu tidak melibatkan pemilik rumah kos rendah selain memberi pengecualian kepada 5,000 pemilik kampung baharu dan kampung tradisi.
Ulasan
Catat Ulasan