Dokumentasi, arkib parti penting untuk dipelihara


Dokumentasi, arkib parti penting untuk dipelihara
December 20, 2024

KOTA KINABALU: Pengukuhan pemahaman dan pengurusan arkib di setiap Dewan Negeri dan Kawasan penting bagi memastikan rekod serta dokumen parti terpelihara dengan sistematik.

Pemukiman Arkib Sabah anjuran Jabatan Arkib PAS Negeri telah diadakan pada 14 hingga 15 Disember lalu dan menghimpunkan pengurus arkib daripada Dewan-Dewan serta Kawasan-kawasan PAS Negeri Sabah.

Sebanyak 45 peserta terdiri daripada Pengurus Arkib Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta 20 kawasan dari seluruh negeri telah hadir ke sesi pemukiman berkenaan yang telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Antara pembentang utama dalam sesi itu adalah Timbalan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Stephen John bertajuk ‘Sejarah Penubuhan dan Peranan Arkib Pada Masa Kini dan Teknik Pendokumentasian Bahan’.

Juga Pengerusi Jabatan Arkib PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dengan tajuk ‘Jabatan Arkib PAS Mara ke Hadapan’.

Sementara Pengarah Jabatan Arkib PAS Pusat, Ahmad Al Johari Mohd Yusuf membentangkan tajuk ‘Sejarah Arkib PAS’ dan Pengarah Jabatan Arkib PAS Negeri Sabah, Aq Mady Hamsi turut mengambil bahagian.

Pemukiman itu juga memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam pengurusan arkib, seterusnya memperkasakan pengumpulan serta penyimpanan dokumen penting dalam organisasi PAS di negeri. – HARAKAHDAILY

Ulasan