Dua dekad tragedi dalam kenangan kolektif



Dua dekad tragedi dalam kenangan kolektif
December 25, 2024

20 TAHUN lalu, masa bergulir pantas dengan seribu peristiwa mulai menimbuni satu persatu kenangan pahit manis kehidupan. Dalam euphoria hari Natal yang sedang mendunia, Acheh menjadi sorotan lensa seluruh dunia dengan tragedi yang menewaskan ratusan ribu manusia. Visual mayat-mayat yang membusuk dan membusung terpencar di pelbagai lokasi tanah rencong itu serta keadaan wilayah Acheh yang berantakan.

Rangkaian berita antarabangsa dengan pantas melaporkan tragedi paling dahsyat di awal milenea dan dengan pantas relawan daripada pelbagai NGO berkejaran ke Indonesia. Kerajaan Indonesia membuka pintu negara kepada tentera luar dan NGO luar negara untuk membantu mangsa-mangsa tsunami.

Acheh adalah nama besar dalam abad ke 16. Kerajaan Islam Nusantara ini mempunyai hubungan khas dengan Khilafah Uthmaniah, malah menerima alat bantuan senjata untuk berperang dengan Portugis di Melaka.

Serambi Makkah Nusantara ini menghadirkan ramai tokoh ulama serta para pejuang menentang kemaraan imperialis Belanda. Masjid Baitur Rahman menjadi mercu tanda pendidikan tinggi Islam zaman dahulu sehingga santrinya bertebaran menebar ilmu kepada masyarakat di Nusantara.

Acheh mengalami era konflik yang panjang pasca Indonesia merdeka; banyak isu politik dan ekonomi yang melingkari wilayah istimewa ini.

Mengimbas kembali saat terlibat membantu mangsa terjahan tsunami 20 tahun lampau..

Saat melihat dengan kesayuan pemandangan Acheh yang sebahagiannya seperti padang jarak padang tekukur dari helikopter NURI milik TUDM dalam perjalanan dari Banda Acheh ke Meulaboh yang terputus jalan darat, hati kecil saya diserkap dengan pertanyaan, bagaimanakah nasib umat Islam Acheh Jaya dan Meulaboh yang mengungsi di khemah-khemah pengungsian selepas diterjah oleh ombak Tsunami.

Persoalan yang muncul dalam benak saya ialah tentang akidah mereka terutama kerana selepas petaka tsunami, NGO-NGO jaringan Kristian seolah berpesta kebajikan, menebarkan keprihatinan terhadap mangsa tsunami terutama anak-anak yatim dan pengunsi-pengunsi yang sedang didera dengan trauma tsunami dan kejerihan hidup setelah semua yang dimiliki disentap dalam sekelip mata. Tidak menjadi rahsia lagi di kalangan petugas dan pekerja kemanusiaan Gerakan Islam berebutan anak-anak yatim dengan gerakan Kristian yang datang dari dalam dan luar negara.

Masjid tersergam Indah, sedangkan binaan lain hancur menyembah bumi. Satu isyarat daripada Yang Maha Esa, agar ummah kembali merengkuh kehidupan beragama. Acheh yang berpaling daripada sejarah leluhurnya, kemaksiatan skala besar pada hari Natal di Pantai Loknga Acheh mengundang kemurkaan Allah.

Pengalaman menjadi sukarelawan di Acheh dengan misi utama membantu penempatan anak-anak yatim Acheh mengesahkan jawapan kepada saya bahawa misionari Kristian telah mendapat ‘syurga’ baru bagi menjaring “ahli-ahli” kerana sebelum ini serambi Mekah ini tertutup rapat bagi mereka. Acheh Darussalam sejak zaman berzaman kental menjadi benteng akidah, bumi perlawanan dengan penjajah Belanda.

Semenjak dari KLIA kami berpapasan dengan NGO-NGO Kristian dan apabila tiba di Medan pula bertembung dengan kumpulan-kumpulan Kristian dari Perancis dan Jerman yang turut terjun kelapangan untuk membantu.

Kehadiran mereka cukup terkesan di kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mampu dijangkaui oleh petugas-petugas Islam malah di beberapa tempat tertentu petugas Islam seperti yang diceritakan oleh sahabat-sahabat PKS terpaksa ‘berkasar’ dengan kelompok ini yang kelihatan cukup agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan yang serba kepayahan. Modal mereka besar sehingga mampu menyewa helikopter swasta untuk berulang-alik ke pelbagai lokasi.

Membawa relawan bertopeng tugas ketuhanan dalam kondisi bencana yang dahsyat. Pengalamanku di pelbagai medan operasi kerja bantuan kemanusiaan mengesahkan kelompok misinari ini sangat komited menebarkan pengaruh, dana serba lumayan malah jaringan politik mereka juga agak luas.

Terjahan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 20 tahun lepas telah memberikan kesan yang besar kepada Acheh dan Sumatera Utara berbanding dengan wilayah yang lain. Dianggarkan korban seramai 240,000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian.

Tragedi ini juga telah menyebabkan 35,000 lebih kanak-kanak menjadi yatim dan mendiami khemah-khemah pengunsian dan di panti anak-anak yatim. Isu anak yatim ini menarik pelbagai NGO untuk turun ke medan lapangan, jumlah angka yang besar ini seolah tsunami seperti satu peperangan.

Isu ini dengan pantas ditanggapi oleh pelbagai gerakan Islam di Indonesia seperti Partai Keadilan Sejahtera, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Mujahiddin Indonesia dan sebagainya, malah Presiden Indonesia saat itu, Susilo Bambang Yudhyono telah memberikan amaran bahawa tidak sesiapapun orang perseorangan ataupun organisasi yang boleh membawa keluar anak-anak yatim Acheh keluar dari Indonesia. Indonesia menjadi suluhan lensa masyarakat antarabangsa, mereka wajib bertegas menjaga maruah dan harkat bangsa.

Kebimbangan tentang nasib akidah anak yatim telah dipaparkan dengan meluas oleh media massa bernuansa Islam di Indonesia dan juga menjadi produk pertuturan masyarakat dari anjung masjid sehinggalah ke gerai-gerai makan. Kebimbangan umat Islam mempunyai asas kerana pertubuhan-pertubuhan Kristian yang memakai jenama pertubuhan kemanusiaan seperti Yayasan Pelita Kasih, Yayasan Obor Bakti, Yayasan Berkat Indonesia, Global Relief, USAid, World Vision dan pelbagai nama lagi begitu agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan.

Gelojak kebimbangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara ini yang mempunyai ikatan persaudaraan Islam dan rumpun bangsa yang sama. Maka program Unit Muslim Care di bawah Lujnah Kebajikan DPPP, misi menyelamatkan anak-anak yatim Acheh telah digerakkan dengan bersungguh-sungguh di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Kutipan dana telah digerakkan secara besar-besaran di Lembah Klang dengan matlamat utama untuk membina bangunan kekal di Banda Acheh dan Meulaboh. Setelah dana yang dianggarkan wajar untuk membina sebuah bangunan tetap, mesyuarat koordinasi telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dengan wakil PKS Indonesia iaitu Ustaz Khairul Rahimi (PKS dan Yayasan Amal Malaysia bernaung di bawah Komiti Kemanusiaan Indonesia).

Setelah urusan awal berjaya diselesaikan, maka rombongan relawan telah bertolak ke Medan pada 9 Februari 2005 dan di Medan, telah disambut oleh IR Mirwan Dono, Pengerusi PKS Medan. Rombongan kami terus bertolak ke Banda Acheh dengan pesawat GARUDA dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Acheh, pesawat yang dinaiki telah membuat beberapa kali pusingan di atas Banda Acheh. Kami telah melihat dengan penuh keinsafan kesan yang hebat akibat terjahan tsunami yang melanda Acheh. Di Banda Acheh, kami ditempatkan di rumah penginapan PKKU (Pos Keadilan Peduli Umat). Pada sebelah petangnya, lawatan telah diadakan ke Lampua untuk menyaksikan kesan kemusnahan yang maha dahsyat. Kami juga melawat sebuah masjid yang bersejarah iaitu Masjid Baitur Rahim yang merupakan sebuah masjid utama, ‘gantian’ kepada Masjid Baitur Rahman yang dibakar oleh Belanda.

Pulang dari misi bantuan Acheh dengan sejuta pengalaman baru, menghirup nikmat membantu yang jerih serta membina jaringan baru maka kami merasakan unit Muslim Care di bawah Lujnah Kebajikan DPPP wajib diangkat menjadi sebuah gerakan swadaya yang lebih terarah fokusnya. Banyak gerakan swadaya Muslim antarabangsa yang setanding dengan badan kebajikan Kristian. Di pelbagai belahan dunia, telah wujud NGO-NGO Islam seperti Muslim Aid, Islamic Relief, Hasana Foundation, IHH, Alkhidmat Foundation, PIMA dan puluhan nama besar yang lain.

Acheh selepas 20 tahun juga telah berubah dengan drastik. Pemerkasaan Syariah di Wilayah Istimewa ini, juga dengan tsunami jihad pendidikan yang menyaksikan banyak pusat pengajian Islam tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Benarlah, Allah menguji manusia bak tapisan halus serta melonjakkan iltizam untuk berubah, kembali bertuhan dan mengembalikan semula Acheh Darul Salam yang pernah gemilang pada abad ke 16 Masihi sebagai rakan strategik Khilafah Uthmaniah. Acheh juga pasca tsunami menjadi tarikan baru pelancongan di negara bekas tanah jajahan Belanda itu; masyarakat antarabangsa membantu membangunkan kembali Acheh apatah lagi dengan enviromen sosial yang lebih Islami pastinya Acheh menggamit keinginan masyarakat luar untuk melihat kesan tsunami dan susur galur sejarah Acheh Daru salam.

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Aktivis bantuan tanpa sempadan – HARAKAHDAILY 25/12/2024

Ulasan