
‘Duta-duta Tuhan’ perlu dihalang dari kerja dakyah
December 28, 2024
MELIHAT kepada video sambutan Christmas Carolling yang dibuat dengan begitu meriah di sebuah kementerian kerajaan, penulis terfikir sama ada terdapat orang Islam terlibat atau dilibatkan pemimpin atasan mereka untuk bersama menyanyi lagu tradisi sambutan perayaan agama Kristian itu?
Mungkin saja tiada dan kita tidak perlu cepat melatah. Lagi pula bersangka baik memang dituntut Islam.
Mungkin saja semua yang menyanyi itu adalah penganut bukan Islam, khasnya sahabat-sahabat kita orang-orang Kristian Sabah dan Sarawak.
Maka kita tumpang gembira atas inisiatif yang dibuat. Seperti kata Menteri kementerian tersebut, ianya bukanlah yang pertama dan tentunya bukan yang terakhir.
Cumanya sekiranya ianya melibatkan penganut Islam, kita sangat berharap supaya kerajaan Madani yang sangat mendokong perpaduan dan keharmonian sesama kaum berlainan agama mengambil langkah-langkah tuntas, menghentikan amalan tersebut selari dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi Persekutuan Malaysia.
Kerana sememangnya umat Islam dilarang untuk menyanyikan lagu Christmas Carolling seperti kenyataan Irsyad al Fatwa #818 terbitan 24 Disember 2023 yang menukilkan ‘Christmas Carolling adalah haram kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak’. Dan Umat Islam difatwakan supaya ‘menjauhi upacara-upacara keagamaan agama lain sama ada dalam bentuk nyanyian atau lainnya’.
Tentunya mana-mana Menteri di Malaysia yang berikrar untuk sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan wajib cakna bab itu.
Hakikatnya juga Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan melarang penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama selain Islam kepada penganut agama Islam. Seorang Menteri juga harus cakna dan akur akan perkara tersebut.
Maka tentunya kita mempunyai masalah dengan mana-mana pihak yang mendambakan beliau sebagai ‘duta Tuhan’ yang dikatakan mahu mendakyahkan agama bukan Islam kepada semua yang dilaporkan meluas sehari dua ini.
Semalam Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet Malaysia serta-merta susulan tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, demi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.
Menurut UMMAH lagi “Keputusan mahkamah yang menyebut bahawa Hannah berniat untuk menyebarkan agama Kristian secara halus kepada mereka yang beragama lain juga menjadikan Hannah dan bukunya perlu disiasat.
“Ia juga boleh diharamkan oleh pihak berkuasa kerana terang-terang melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama selain Islam kepada penganut agama Islam,” kata Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa lagi.
Sebelum itu Hakim, Arziah Mohamed Apandi dalam penghakiman beliau telah menolak saman fitnah difailkan Hannah Yeoh terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan di dalam satu forum yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020 kerana mendapati bahawa kenyataan Mantan Ketua Polis Negara itu tidak bersifat fitnah dan bahawa Hannah Yeoh sendiri, melalui bukunya ‘Becoming Hannah’, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.
Atas keputusan penghakiman ini jugalah Parti Pribumi Bersatu melalui Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendesak supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas dengan menggugurkan Menteri Belia dan Sukan itu seperti yang dilaporkan sebuah portal tempatan bahawa, “Tindakan Hannah menyalahi dan bertentangan dengan undang-undang di bawah:
1. Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu’.
2. Seksyen 298(A)(1} Kanun Keseksaan’ kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.
“Sehubungan itu, Bersatu ingin menyembah perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.”
Hakikatnya Muslim dimurtadkan di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing walaupun Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan tegas menegah perbuatan tersebut.
Sememangnya Malaysia pernah melalui episod sedih menyayat hati apabila seorang ibu tua di sebuah kampung di Selangor merayu supaya anaknya yang dimurtadkan anasir tidak bertanggungjawab pulang ke pangkuan Islam dan keluarga.
Tentu ramai yang sudah lupa atau mungkin juga ada yang belum pernah dengar akan susuk seorang wanita Muslim, Azlina Jailani yang menurut laporan telah dimurtadkan sebuah gereja di Brickfields.
Azlina Jailani seorang wanita Muslim asal Selangor pernah menggemparkan negara dengan pengakuan murtad beliau dan cubaan wanita yang lebih dikenali dengan gelar Lina Joy ini untuk menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada MyKad beliau sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan (2007) walaupun akhirnya gagal berbuat demikian seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia pada 2013.
Tentunya kita juga cakna bahawa musibah lebih besar bakal melanda Malaysia sekiranya penghakiman mahkamah tertinggi negara itu berpihak kepada Azlina Jailani. Semoga ianya dijauhkan Allah SWT.
Namun DAP, parti politik yang sama dengan Menteri Belia dan Sukan, melalui seorang pemimpin senior DAP, Teresa Kok yang kini merangkap Naib Pengerusi DAP telah mengeluarkan kenyataan media yang bertajuk ‘The Verdict of the Federal Court on LIna Joy’s case is a setback against religious freedom in Malaysia’.
Kenyataan media yang dikeluarkan pada tahun 2007 ini masih boleh diakses di laman rasmi parti DAP, ketika artikel ini ditulis.
Mungkinkah juga ianya mencerminkan pendirian dan perjuangan DAP tidak berbelah bagi akan hal itu walaupun parti itu dan pemimpin-pemimpinnya ketika diasak massa sering mengaku mendukung undang-undang dan perlembagaan negara?
Tentunya perkara ini dan pengakuan Hannah Yeoh sendiri dalam bukunya, ‘Becoming Hannah’ seperti yang pernah didedahkan oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff, dengan sangat terperinci “…that “Hannah Yeoh, lives for God” and “God knew, she desires to preach and serve Him.” (Becoming Hannah muka surat 23 dan 108).
Beliau juga dalam buku yang sama ada mengaku dan menyeru belia Kristian untuk berbuat sama walaupun bakal berdepan dengan kesukaran seperti yang beliau sendiri lalui, “no experience; no money; not the right time!” (Becoming Hannah muka surat 110)
Jauh lebih awal sebelum itu seorang blogger terkenal Helen Ang sejak sekian lama telah melaporkan mengenai aktiviti evangelisme beliau seperti yang dikongsikan beliau dan rakan-rakan beliau sendiri di pelbagai platform media sosial.
Mungkinkah kerja ‘dakwah’ ini yang cuba diteruskan dengan aktiviti Jom Ziarah Gereja, sebuah aktiviti yang terbuka kepada belia-belia bukan Kristian seperti yang diiklankan sebelum ianya mendapat bantahan meluas pelbagai pihak masyarakat dan dibatalkan?
Amat malang lagi persepsi tersebut sukar untuk dikikis apabila dilaporkan Impact Malaysia sendiri merupakan sebuah inisiatif kementerian Menteri tersebut?
Timbul persoalan, tidakkah ianya melanggar undang-undang jika kerja pendakyahan agama bukan Islam kepada orang Islam yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan dengan penggunaan dana awam Persekutuan?
Penulis sendiri sebagai mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), yang banyak terdedah secara langsung dan mendalam dengan program-program DAP dan program-program lain anjuran rangkaian-rangkain yang mesra dengan perjuangan parti tersebut kurang selesa dengan pernyataan terbuka ‘duta Tuhan’ dalam bukunya itu seperti yang didedahkan dengan meluas oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff bahawa ‘Hannah Yeoh menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia (‘God wants to reclaim politics and public service in Malaysia’, muka surat 110), ditambah tindakan beliau mengaitkan diri dengan cita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam (‘aims to bring Christian faith and service to the public sphere’)’.
Timbul persoalan, adakah ‘public office’ di Malaysia masih tidak cukup Godly sehingga ianya perlu direclaim?
Tidakkah cukup peruntukkan dan kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan?
Jika ianya mahu diclaim semula bagaimanakah kelak hal atau usaha ini dengan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dengan nama Allah, (Wallahi; Wabillahi; Watallahi) yang antara lain “… berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam”.
Persoalannya lagi bagaimanakah pula kedudukan Islam sekirannya mana-mana individu atau kumpulan ini berjaya berbuat seperti yang perincikan buku tersebut?
Penting untuk kita menelaah satu wawancara yang dimuatnaik oleh laman web Islamic Renaissance Front pada 7 September 2012, seorang pengkaji Evangelical Christianity di Malaysia, Dr Chris Chong, bersetuju bahawa DAP mempunyai pengikut besar di kalangan Kristian evangelical, dan Hannah Yeoh disebutkan sebagai satu contoh baik mengenainya, di mana kawasan pilihan raya beliau didakwa mempunyai bilangan gereja per kapita paling banyak di Malaysia. Hal ini telah didedahkan oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff juga, ketika itu merangkap Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM dalam laporan polis yang dibuatnya ke atas Hannah Yeoh.
Penting juga untuk maklumat itu dikaji silang dengan perkongsian yang dibuat oleh pengkaji dan penulis, Ian Buchanan dalam buku beliau yang bertajuk ‘Sang Nila Utama and The Lion of Judah; Dominionism and Christian Zionism in Malaysia’ yang diterbitkan pada tahun 2015 menulis dengan panjang lebar jaringan Kristian Evangelis di Malaysia, rantau Asia Tenggara dan Asia Timur serta antarabangsa.
Sebelum itu, pada 2010 beliau ada menulis buku yang bertajuk ‘The Armies of God, A Study in Militant Christianity’ dan seeloknya dua buku ini dibaca semua warga yang cintakan negara.
Harapan saya sebagai warganegara yang patriotik dan cintakan keharmonian semua isi di dalamnya ialah mendambakan sebuah negara madani yang dengan pantas dan tuntas menafikan ‘duta-duta Tuhan’ atau parti ‘duta Tuhan’ ini daripada melakukan kerja dakyah yang jelas bercanggah dengan undang-undang khasnya Perlembagaan Malaysia yang kita cintai.
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 28/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan