Hannah Yeoh digesa berehat, elak cemar imej kerajaan



Hannah Yeoh digesa berehat, elak cemar imej kerajaan
December 26, 2024

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. untuk berehat daripada tugasan rasmi dan mempertimbangkan meletakkan jawatan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri mendesak demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Katanya, keputusan mahkamah itu merupakan satu peringatan penting kepada semua pihak, khususnya pemimpin negara, agar lebih berhati-hati dalam tindakan dan kenyataan yang dibuat.

Menurutnya, gesaan supaya Hannah Yeoh berehat adalah penting bagi menjaga integriti serta kredibiliti kerajaan, selain mengelakkan isu tersebut terus mencemarkan imej pentadbiran dan merosakkan kepercayaan rakyat.

“Sebagai sebuah negara majmuk, isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum mesti ditangani dengan penuh tanggungjawab. Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan, terutamanya terhadap umat Islam, perlu dielakkan.

“Justeru, Pemuda PAS menasihatkan semua pihak, termasuk Hannah Yeoh, untuk lebih peka terhadap perkara ini bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memuji keberanian Musa Hassan yang mendedahkan isu berkaitan demi kepentingan umat Islam di Malaysia, menyifatkan tindakan itu selaras dengan tanggungjawab mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pendedahan ini menunjukkan komitmen beliau dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap cabaran yang dihadapi umat Islam dalam mengekalkan kesucian agama dan perpaduan negara,” jelasnya.

ADUN Manjoi itu turut menyeru semua pihak agar menghormati sensitiviti agama dan kaum serta memastikan perpaduan nasional terus terpelihara.

“Pemimpin di semua peringkat perlu mengutamakan perpaduan dan bertindak dengan penuh hikmah demi kebaikan bersama.

“Semoga isu ini menjadi pengajaran untuk kita semua lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Ulasan