Indonesia nafi Prabowo batal ke Malaysia kerana demam


Indonesia nafi Prabowo batal ke Malaysia kerana demam
December 24, 2024

JAKARTA: Indonesia menafikan Presiden, Prabowo Subianto membatalkan lawatan ke Malaysia semalam adalah disebabkan demam, seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan portal berita Kompas, Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya sebaliknya berkata, Prabowo berada dalam keadaan sihat selepas menghadiri beberapa siri mesyuarat di Kaherah.

“Sebaik sahaja tiba di tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak D-8 di Kaherah, Mesir, Presiden Prabowo terus mempengerusikan mesyuarat khas di Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada pagi Isnin,” katanya.

Terdahulu, Prabowo dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar di Langkawi, semalam.

Namun, Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan di laman media sosialnya berkata, pertemuan itu terpaksa ditangguhkan untuk beberapa hari disebabkan faktor kesihatan Prabowo.

“Saya dan keluarga sudah di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini.

“Namun, malam tadi beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam.

“Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin sekali gus menyambung rencana pertemuan dua negara,” katanya menerusi kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

Ulasan