
Jadilah peminjam PTPTN yang beramanah, beretika
SEBAGAI peminjam yang kini melangkah ke alam pekerjaan, nilai etika dan integriti mesti menjadi panduan dalam kehidupan profesional dan peribadi.
Oleh Rencana Utusan
30 Disember 2024, 9:00 am
SEJUMLAH RM11.32 bilion masih tertunggak daripada 1.25 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), termasuk puluh ribuan yang tidak pernah membuat satu pun bayaran balik. PTPTN juga memerlukan RM3 bilion setiap tahun untuk menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan membantu 150,000 pelajar baharu. Maklumat ini menimbulkan persoalan, sekiranya peminjam terus gagal atau tidak mengendahkan tanggungjawab pembayaran balik, dari manakah datangnya dana untuk memastikan pelajar masa depan dapat menikmati peluang pendidikan yang sama?
Pendidikan tinggi bukan sekadar peluang untuk memperbaiki taraf hidup individu tetapi juga asas kepada pembangunan negara. Namun, ini hanya boleh dicapai jika kita semua, terutamanya peminjam, memainkan peranan masing-masing. Tidak adil bagi mereka yang bertanggungjawab dan setia membayar pinjaman mereka, terutama daripada keluarga yang kurang berkemampuan, melihat kelangsungan dana ini terancam kerana kegagalan pihak lain untuk melunaskan hutang.
Sebagai peminjam yang kini melangkah ke alam pekerjaan, nilai etika dan integriti mesti menjadi panduan dalam kehidupan profesional dan peribadi. Pelaksanaan tanggungjawab seperti pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah cerminan keperibadian dan komitmen anda kepada masyarakat. Memulakan fasa baharu dalam kehidupan sebagai seorang pekerja mestilah dengan langkah positif, bukan dengan mengabaikan kewajipan.
Peminjam perlu menyedari pentingnya celik kewangan dalam mengurus kehidupan mereka. Belajarlah untuk menyusun bajet, hidup mengikut kemampuan, dan mendahulukan keperluan asas serta tanggungjawab kewangan seperti bayaran balik pinjaman PTPTN. Malah, tidak kira berapa banyak gaji anda, pastikan sejumlah kecil disimpan untuk memenuhi tanggungjawab ini dan kepada keluarga, terutamanya ibu bapa, yang telah banyak berkorban.
Pendekatan atau sikap mengelak atau melarikan diri daripada tanggungjawab pembayaran bukan sahaja merugikan dana pendidikan negara, tetapi juga mencerminkan sikap tidak matang yang boleh menjejaskan reputasi sebagai seorang pekerja berintegriti. Pekerja yang bertanggungjawab, beretika, dan berdedikasi akan menjadi tunjang kepada organisasi mereka, menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Dalam masa yang sama, peminjam mesti mengambil inisiatif untuk berunding dengan PTPTN agar bayaran balik dapat disesuaikan dengan kemampuan mereka.
Walaubagaimanapun, saya juga amat harapkan PTPTN dapat terus bersikap empati dengan menilai kes peminjam yang masih belum mendapat pekerjaan dengan pendekatan yang lebih fleksibel. Walaupun pelbagai inisiatif seperti penstrukturan semula dan bayaran balik fleksibel telah diperkenalkan, kes seperti ini wajar dianggap sebagai pengecualian yang memerlukan pendekatan khas, agar mereka tidak terbeban dan tetap dapat melaksanakan tanggungjawab secara berperingkat.
Saya menyeru semua peminjam PTPTN untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran dan kebertanggungjawaban. Memulakan pekerjaan adalah langkah baharu dalam kehidupan, peluang untuk membina asas masa depan yang kukuh dan positif.
Tanggungjawab membayar balik pinjaman bukan sahaja memenuhi kewajipan kontrak, tetapi juga memastikan pendidikan tinggi terus tersedia untuk generasi akan datang.
Bersama-sama, masyarakat, majikan, dan pemegang taruh perlu menyokong inisiatif PTPTN, menggalakkan peminjam tampil berbincang dan mencari penyelesaian. Hanya dengan komitmen kolektif, kita dapat menjamin kelangsungan sistem pendidikan tinggi yang kukuh, inklusif, dan menjadi pemangkin kemajuan negara. Bertindaklah dengan penuh integriti demi masa depan generasi akan datang. – UTUSAN
DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)
Ulasan
Catat Ulasan