Jentera PAS Pahang bantu pasca banjir di Tumpat


Jentera PAS Pahang bantu pasca banjir di Tumpat
December 17, 2024

TUMPAT: Badan Perhubungan PAS Pahang bersama tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri berkenaan telah turun menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan, khususnya Tumpat, hari ini.

Misi bantuan kali ini melibatkan sumbangan kewangan dan pek makanan yang akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana alam itu.

Ketua rombongan yang juga Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rombongan turut membawa tenaga kerja bagi melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan serta kediaman.

Menurutnya yang juga ADUN Cheka, rombongan ini adalah kali kedua PAS Pahang turun ke kawasan tersebut bersama jenteranya.

Namun pada hari ini tambah beliau, jumlah rombongan dan sumbangan yang dibawa jauh lebih besar berbanding misi pertama.

Beliau menjelaskan, sumbangan kali ini hasil kutipan di peringkat ADUN-ADUN Pahang sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir di Kelantan.

Menurutnya, sumbangan kali ini berupa kewangan, kit makanan dan tenaga sukarelawan untuk membantu mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kami juga akan ke lokasi-lokasi terpilih hari ini untuk menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir,” katanya ketika ditemui di Pejabat PAS Kawasan Tumpat, Berangan, dekat sini hari ini.

Beliau berharap, usaha itu dapat meringankan beban mangsa banjir serta membantu mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terjejas.

PAS Pahang juga menyumbangkan wang tunai sebanyak RM26,000 disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Persuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

Ulasan