Kampung pun sudah setaraf KL

Kampung pun sudah setaraf KL
Oleh Adlinahani Binti Khalil
20 Disember 2024, 6:30 am

SEBELUM ini, penduduk di kampung akan melihat bekerja di kawasan bandar, terutamanya di Kuala Lumpur merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Apa sahaja yang tidak ada di KL? Semuanya serba-serbi lengkap. Daripada pekerjaan, penempatan sehinggalah pusat rekreasi. Semua ada asalkan poket juga tebal.

Namun, keghairahan mengenai KL semakin lama semakin terhakis apabila semakin ramai penduduk luar bandar tidak mahu lagi berhijrah ke ibu kota, malah orang bandar pun memilih untuk menetap di kawasan kampung.

Semuanya kerana peningkatan kos hidup yang semakin ‘garang’ sehinggakan ada yang berpandangan KL bukan lagi lubuk mencari rezeki.

Ada segelintir menyatakan gaji yang diterima tidak se­timpal untuk meneruskan kehidupan di KL, sekali gus menyebabkan mereka membuat keputusan pulang semula ke kampung halaman masing-masing.

Senario itu dibuktikan menerusi data Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 berhubung trend aliran migrasi dalam negeri melibatkan penduduk dari desa ke bandar yang menunjukkan 30 peratus perpindahan pada 2020 berkurangan kepada 20.4 peratus pada 2022.

Statistik jabatan itu juga menunjukkan komposisi migrasi antara negeri menurun kepada 30.3 peratus berbanding 31.2 peratus pada 2020 dan migrasi antarabangsa jatuh daripada 10.4 peratus pada 2020 kepada 7.4 peratus pada 2022.

Antara faktor utama kepada penurunan itu adalah jurang infrastruktur asas yang semakin mengecil dan peningkatan kos sara hidup di bandar.

Bagi golongan penduduk bandar yang berhijrah ke kampung pula berpandangan, kesibukan kota yang terlalu padat membuatkan mereka berfikir mengenai kualiti hidup berbanding bergaji besar.

Mereka menyatakan apa gunanya jika mempunyai gaji tinggi sekiranya pagi, petang dan malam perlu hadapi kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya, bersesak dengan orang ramai dalam pengangkutan awam dan situasi itu kata mereka, memberi kesan terhadap kesihatan mental dalam tempoh panjang.

Jika dilihat dalam platform media sosial, kebanyakan golongan yang berpindah ke luar bandar beritahu mereka mahu menjalani kehidupan harian yang lebih tenang.

Katanya, walaupun kemudahan infrastruktur di kampung tidaklah lengkap sepenuhnya, namun pada kadar ‘hampir lengkap’ pun sudah memadai, asalkan mereka selesa dan kerja harian dapat dilakukan dengan lancar.

Antara negeri yang menjadi pilihan penghijrahan orang bandar ke luar bandar ini adalah Melaka, Kedah dan Perak.

Bagi penduduk luar bandar yang memutuskan mereka tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki, mereka menjelaskan, hidup secara sederhana itu lebih bahagia berbanding mempunyai semua kesenangan namun hutang keli­ling pinggang dan makan pun kena bercatu.

Peredaran zaman juga menyaksikan perubahan signifikan terhadap kawasan luar bandar ketika ini. Jika dahulu, sebut sahaja kampung, terus membayangkan perlu mandi air perigi, masih menggunakan jalan tanah merah dan isyarat telefon pun tiada.

Kini, walaupun bukan semua kawasan luar bandar itu mempunyai kemudahan moden, namun ia masih mencukupi untuk memulakan kehidupan seadanya.

Pokoknya, apa sahaja yang dilakukan perlulah tepuk dada, tanya selera. Hidup di kampung atau pun di bandar, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.



Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN

Ulasan