Kanser dalam sistem penjagaan kesihatan
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
23 Disember 2024, 10:39 am
Kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus menyebabkan kemarahan banyak pihak terutama orang ramai. Mereka mengeluh bahawa terpaksa menambah perbelanjaan bulanan sebanyak beberapa ratus ringgit.
Golongan terkesan adalah yang dalam usia 30-an atau yang baru mempunyai anak. Golongan “tua” yang tidak mungkin nampak muda walaupun beratus kali ke spa juga terkesan berikutan pendapatan terhad.
Ada yang memilih untuk membatalkan pelan insurans perubatan masing-masing terutama untuk anak-anak. Mereka menyerahkan takdir “penjagaan kesihatan” di hospital kerajaan walaupun terpaksa menunggu lama.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah campur tangan dan mengehadkan kenaikan kepada 10 peratus sebagai langkah jangka pendek bagi menangani masalah itu. Bank pusat yang menyelia industri insurans mendedahkan bagaimana mereka yang datang tanpa insurans membayar 80 peratus lebih rendah berbanding yang datang dengan surat akuan perlindungan insurans.
BNM berkata kawal selia caj hospital adalah tugas Kementerian Kesihatan. Kementerian Kesihatan pula menegaskan akan melihat undang-undang berkaitan caj di hospital swasta. Seperti biasa di Malaysia yang tercinta, banyak episod Sinetron “salah menyalah”.
Ada banyak isu dalam penjagaan kesihatan yang melangkaui hanya caj hospital dan insurans. Kesesakan teruk dan kekurangan hospital awam mendorong orang ramai mencari alternatif lebih baik.
Wang tambahan dilabur ke dalam insurans perubatan dengan harapan menjadi golongan “elit” kerana dapat ke hospital swasta tanpa perlu berbaris berjam-jam. Menyedari peluang yang ada, datanglah golongan kapitalis yang melihat apabila ada permintaan, maka di situ ada peluang meraih keuntungan.
Maka lebih banyak hospital swasta dibina sejak lebih dua dekad lalu. Tidak kurang transaksi mengambil alih hospital sedia ada kerana penjagaan kesihatan dianggap kalis kemelesetan ekonomi. Masa ekonomi teruk orang tetap sakit. Maka sesetengah transaksi membabitkan hospital swasta melonjak daripada RM1 juta setiap katil kepada RM5 juta setiap katil. Hospital swasta 200 katil yang sebelum ini berharga RM200 juta menjadi RM1 bilion. Untuk meraih semula pulangan pelaburan RM1 bilion, maka caj dinaikkan.
Syarikat insurans menjangka dapat meraih keuntungan daripada pelbagai polisi mula sedar tawaran sebelum ini tidak dapat menampung kenaikan. Sekurang-kurangnya mereka cuba mengekalkan keuntungan. Harus diingat kalau berniaga untuk rugi, lebih baik jangan berniaga.
Jadi semua ini membawa kepada masalah yang dihadapi hari ini. Salah siapa? Masyarakat semakin menua? Selain ada ubat yang menghalang seseorang menjadi tua dan kerepot, mereka pasti akan sakit satu hari nanti.
Masalah masyarakat berhadapan pelbagai penyakit? Itu semua suratan untuk punca kematian. Kerakusan meraih keuntungan? Itu kerja kapitalis. Apa yang berlaku bermula berdekad lalu dan bukan sekarang. Kegagalan melabur dalam penjagaan kesihatan awam selaras peningkatan usia sejak berzaman.
Unjuran yang salah serta mengambil mudah bahawa apa yang ada mencukupi oleh Kementerian Kesihatan sejak sekian lama. Kita tidak boleh membaling batu kalau tinggal di rumah kaca. Seperti bola sepak negara yang gagal, begitu juga sistem kesihatan awam negara.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan