
Langkah didik masyarakat sejajar perintah Allah SWT
December 27, 2024
Share
KUALA LUMPUR: Hukuman sebat pesalah khalwat berulang di luar penjara dan di khalayak ramai adalah langkah mendidik masyarakat sejajar perintah Allah SWT.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hukuman itu termasuk dalam tazkir di bawah bidang kuasa negeri dan dilaksanakan mengikut prinsip Maqasid Syariah serta kaedah sebatan mengikut kaedah Islam.
“Alhamdulillah Kerajaan Terengganu hari ini membuktikan komitmen dalam memperkasakan undang-undang syariah.
“Pelaksanaan hukuman sebat pesalah khalwat berulang di luar penjara dan di khalayak ramai hari ini adalah langkah mendidik masyarakat, sejajar dengan perintah Allah SWT.
“Semoga negeri Terengganu, kepimpinannya, dan seluruh rakyatnya sentiasa diberkati Allah SWT,” katanya menerusi satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail setelah lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.
Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah. – HARAKAHDAILY 27/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan