Laporan RCI Batu Puteh: Meragukan dan ‘mala fide’



Laporan RCI Batu Puteh: Meragukan dan ‘mala fide’
December 12, 2024


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyifatkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan sebagai dokumen yang cacat, tidak sempurna, dan gagal memberikan maklumat penuh kepada Ahli Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

Beliau turut berkata laporan itu berpotensi mempunyai niat buruk (mala fide) terhadap individu tertentu.

“Untuk rekod sebagaimana yang saya sebutkan tadi 47 muka surat dipadamkan. Jadi ini adalah satu petanda bahawa laporan ini merupakan satu laporan yang kita rasa ragu.

“Dan mungkin ianya mempunyai satu niat ‘mala fide’ satu niat buruk terhadap individu-individu tertentu yang menjadi sasaran kepada pihak berkuasa sekarang ini,” katanya ketika membahaskan Usul RCI Pulau Batu Puteh di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin juga merujuk kepada tiga saranan dalam laporan itu, iaitu memfailkan semula permohonan tafsiran, tindakan sivil terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan siasatan jenayah di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan atas dakwaan menipu.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS itu, saranan pertama dan kedua tidak disyorkan kerana terhalang oleh faktor masa.

Menurutnya, terdapat percanggahan kenyataan antara bekas menteri mengenai keputusan menarik balik semakan ICJ iaitu ada yang mendakwa keputusan itu dibuat secara peribadi oleh Dr Mahathir tanpa mendapat kelulusan kabinet.

Sementara yang lain menurutnya, termasuk Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, menyatakan keputusan itu dibentang dan tiada bantahan dalam mesyuarat kabinet.

Beliau turut mendedahkan dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat kabinet bertarikh 23 Mei 2018, yang menyatakan Kabinet bersetuju untuk tidak meneruskan semakan dan permohonan tafsiran keputusan ICJ.

“Sehingga tidak dinafikan sebaliknya, bagi saya ini adalah dokumen sah daripada minit pada hari tersebut,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan usul Dewan Rakyat yang menyeru tindakan terhadap dapatan RCI itu, termasuk gesaan agar Peguam Negara memulakan siasatan terhadap individu tertentu.

“Bila masa parlimen dijadikan tempat untuk menggesa khususnya Peguam Negara mengambil tindakan ataupun mengadakan siasatan kepada orang-orang tertentu? Saya harap Parlimen yang mulia ini tidak disalahgunakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

Ulasan