Memperingati 20 tahun peristiwa Tsunami 2004



Memperingati 20 tahun peristiwa Tsunami 2004

Lautan Hindi
December 26, 2024

KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan tarikh bersejarah bagi peristiwa Tsunami Lautan Hindi 2004 sehingga meragut 68 nyawa di beberapa buah negeri di utara Semenanjung khususnya Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, tragedi itu berpunca daripada gempa bumi kuat dengan magnitud 9.1 (USGS) pada jam 8:58 pagi waktu Malaysia.

“Lokasi pusat gempa bumi adalah di pantai barat laut Sumatera Utara sehingga menyebabkan kerak laut terangkat beberapa meter mencetuskan tsunami terjana dan tersebar di seluruh Lautan Hindi seawal 20 minit selepas gempa bumi berlaku.

“Tragedi itu telah mengorbankan sejumlah 227,899 orang termasuk yang dilaporkan hilang, manakala kematian dilaporkan di 15 negara di Asia Selatan, Afrika Timur dan Selatan, dan Lautan Hindi.

“Hal demikian, dianggarkan lebih 1.7 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi dan tsunami yang terjana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Selain itu, tsunami itu turut mencederakan ratusan penduduk dan mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit sehingga menjejaskan beberapa kawasan di utara Semenanjung.

“Lokasi paling teruk terjejas adalah di Pulau Pinang (Batu Feringghi, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Pantai Acheh dan Persiapan Gurney); dan Pulau Langkawi (Pantai Tengah, Pantai Cenang, Kuala Teriang, Pantai Kok dan Sungai Melaka).

“Selain itu, Kuala Muda (Kota Kuala Muda, Tanjung Dawai, Kuala Sungai Muda, Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid dan Padang Salim),” katanya.

Justeru, MetMalaysia mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa tsunami itu.

“Kenali juga tanda semula jadi ancaman tsunami seperti gegaran kuat akibat gempa bumi, perubahan mendadak paras air laut dan deruman kuat dari laut agar kita semua lebih waspada.

“Terdapat pelbagai hebahan rasmi amaran tsunami oleh MetMalaysia antaranya khidmat pesanan ringkas (SMS), faks, media sosial, laman web, TV crawlers, kenyataan media, aplikasi myCuaca dan siren tsunami.

“Oleh itu, kongsikan maklumat ini kepada semua agar kesedaran mengenai bencana tsunami dapat dipupuk di kalangan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Ulasan