Mengapa Muhyiddin kekal calon PM terbaik buat PN
PENGALAMAN beliau sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar, memberi kelebihan dalam memahami cabaran domestik dan antarabangsa.
Oleh Sukiman Sarmani
2 Disember 2024, 8:00 am
PADA Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketujuh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan bertemakan “Bersatu Peneraju Politik Abad Ke-21”.
Ucapan beliau menunjukkan kemampuannya sebagai pemimpin yang layak memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ucapan ini bukan sahaja menonjolkan visi beliau untuk negara, tetapi juga menegaskan kedudukannya sebagai tokoh politik yang sederhana dan inklusif, yang mampu menarik sokongan rakyat pelbagai kaum.
Pesanan beliau kepada barisan kepimpinan baharu Bersatu tepat sekali. Mereka semua menggalas satu tanggungjawab yang besar untuk melangkah maju dengan panji-panji Bersatu ke setiap pelusuk dan daerah di Malaysia dengan politik baharu, politik nilai, politik yang berakar dengan prinsip dan idealisme perjuangan, politik prihatin serta politik damai dan keharmonian.
Konsep politik baharu, politik nilai, politik yang berakar dengan prinsip dan idealisme perjuangan, politik prihatin serta politik damai dan keharmonian ini adalah sesuatu yang didambakan oleh rakyat tatkala negara dipenuhi oleh ahli-ahli politik lama yang meninggalkan prinsip dan idealisme perjuangan, politik prihatin serta politik damai dan keharmonian demi kuasa.
Kesediaan Muhyiddin untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu sehingga PN berjaya bertapak semula di Putrajaya dalam PRU 16 juga wajar dipuji.
Seperti kata beliau: “Yang di sebelah sana itu sudah tidak boleh diharap lagi untuk menjulang obor perjuangan agama, bangsa dan negara selagi mana mereka memilih untuk bersama-sama dengan parti-parti yang saling bertentangan matlamat perjuangannya. Walaupun mereka tidur sebantal, mimpinya lain-lain.”
Pengalaman lama beliau sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar, memberi kelebihan dalam memahami cabaran domestik dan antarabangsa. Pengalaman ini juga memberi beliau ketegasan diperlukan untuk menangani isu-isu ini.
Dalam konteks geopolitik umpamanya, beliau mengkritik kelemahan Kerajaan Madani dalam mempertahankan kedaulatan negara, terutamanya isu Laut China Selatan yang kini menjadi kancah perlumbaan geopolitik yang sengit melibatkan kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dan China yang masing-masing mahu melindungi kepentingan politik, ekonomi dan ketenteraan negara masing-masing.
Ramai yang bersetuju dengan Muhyiddin bahawa di tengah-tengah kancah konflik geopolitik yang mengancam kedaulatan Malaysia, respon Malaysia terhadap gugatan pengawal pantai negara China yang menceroboh wilayah perairan Malaysia dilihat hambar, serta tidak terlihat ketegasan Perdana Menteri atau menteri untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.
Kritikan beliau bahawa kenyataan pemimpin Malaysia yang berdolak-dalih mengenai pergelutan geopolitik dan perlumbaan kuasa di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, serta mengenai genosid Israel di Palestin yang kini mewujudkan persepsi kononnya Malaysia sudah menjadi proksi kepada kuasa besar tertentu juga perlu diambil berat oleh pemimpin Malaysia.
Muhyiddin juga memperkenalkan istilah perjuangan nasionalisme baharu Malaysia yang mesti dipelopori oleh Bersatu sebagai parti peneraju politik abad ke-21.
Asas nasionalisme baharu atau semangat kebangsaan baharu ini dikatakan terangkum dalam lima prinsip teras idealisme Bersatu iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin.
Beliau juga menekankan pentingnya penyediaan lebih banyak peluang untuk orang Melayu dan Bumiputera menyertai bidang perniagaan dan keusahawanan khususnya melalui pendigitalan ekonomi bagi memajukan ekonomi Bumiputera di abad ke-21.
Pelancaran Pelan Tindak Rangka Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital dan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk mempercepatkan perluasan rangkaian 5G ke seluruh negara semasa pentadbiran beliau merupakan bukti kepimpinan proaktif dalam menangani cabaran ekonomi.
Salah satu aspek penting dalam ucapan beliau ialah jaminan kepada masyarakat bukan Melayu.
Muhyiddin menekankan bahawa Bersatu tidak hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera tetapi juga komited untuk membentuk kerajaan yang berbilang kaum.
Dengan pendekatan sederhana dan inklusif, beliau membawa mesej yang mampu mengatasi jurang etnik, sesuatu yang amat penting untuk menarik sokongan bukan Melayu kepada PN.
Ucapan Muhyiddin tidak lengkap tanpa kritikan terhadap Kerajaan Madani PH-BN. Bagaimanapun, beliau bukan sekadar mengkritik tetapi mengemukakan cadangan konkrit.
Antaranya ialah cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya suatu dasar yang komprehensif mengenai pekerja asing dan kemasukan warga asing ke Malaysia dapat dirangka dan tindakan tegas diambil bagi mengatasi masalah kebanjiran warga asing yang tinggal di negara ini secara haram kerana jika tidak diatasi segera ia boleh menjadi bom jangka yang mengancam keselamatan negara dan jatidiri nasional.
Lontaran untuk menggembleng dan menggarap seluruh kekuatan dan pengaruh, ilmu dan pengalaman, tenaga dan pemikiran parti-parti politik yang berpegang kepada idealisme dan prinsip dan nilai yang sejagat, serta badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan tokoh-tokoh masyarakat, dalam membina Gagasan Perdamaian Nasional (National Reconciliation) juga satu usaha penting untuk merangka penyelesaian kepada isu negara.
Tidak kurang relevannya ialah pandangan beliau kepada pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Bumiputera supaya menubuhkan satu badan tunggal yang memayungi semua NGO Melayu dan Bumiputera di negara ini atas satu tujuan dan matlamat untuk memperjuangkan agenda Bumiputera yang seharusnya ditukar menjadi satu kerangka tindakan segera.
Ucapan Muhyiddin ini membuktikan bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri terbaik untuk PN dalam PRU-16. Dengan pengalaman, visi yang jelas dan pendekatan sederhana, beliau mampu memimpin PN ke arah kemenangan.
Kritikan beliau terhadap Kerajaan Madani perlu diambil serius, manakala visi ekonomi dan sosialnya menawarkan harapan baharu kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani adalah bekas Profesor di Program Sains Nuklear, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ulasan
Catat Ulasan