
Menteri DAP melulu, tak hormat sensitiviti dan fatwa
December 28, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan pemimpin DAP yang menuduh pemimpin PAS cuba mempolitikkan sambutan Hari Krismas anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, tuduhan melulu itu tidak hanya menunjukkan ketidaksensitifan terhadap keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama, malah mengabaikan hakikat bahawa pandangan PAS adalah berdasarkan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“PAS sentiasa berpegang teguh kepada prinsip syariah dan panduan yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam memastikan sensitiviti agama dipelihara.
“Garis panduan ini bertujuan untuk menjaga keseimbangan antara menghormati kebebasan beragama dan tidak melanggar prinsip Islam, agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami ingin bertanya kepada pemimpin DAP, adakah mereka memahami dan menghormati garis panduan ini? Jika tidak, adakah ini mencerminkan kegagalan mereka dalam menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan mengekalkan keharmonian berlandaskan Perlembagaan?” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Nadzir berkata bahawa DAP, sebagai parti yang sering melaungkan slogan keadilan dan toleransi, seharusnya menunjukkan teladan baik dengan memahami serta menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa mengeluarkan kenyataan tanpa memahami konteks dan panduan agama jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab, sekali gus berpotensi menggugat keharmonian kaum di negara ini.
Beliau menggesa Menteri Agama dan pihak JAKIM untuk tampil menasihati para Menteri DAP agar memahami dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Kami juga menyeru mereka untuk bermuhasabah dan bertaubat atas sebarang tindakan atau kenyataan yang bertentangan dengan panduan ini. Akhir sekali, PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian menyeru agar isu ini tidak dipolitikkan secara melulu.
“Sebaliknya, setiap pihak harus bertanggungjawab dalam menjaga sensitiviti dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan