MP PN tuntut Pusat tangani isu infra luar bandar
December 21, 2024
TUMPAT: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kelantan telah meninjau keadaan laluan utama yang terputus dan memberi kesan besar kepada penduduk di Kampung Jubakar Pantai, di sini hari ini.
Lawatan diketuai Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Mat Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.
Turut serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Datuk Takiyuddin dalam ulasannya meminta Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, agar memberikan perhatian khusus terhadap masalah ini yang telah sekian lama membelenggu penduduk setempat.
“Laluan ini sangat penting untuk kehidupan harian penduduk. Kehilangan akses ini telah menjejaskan urusan kerja, pendidikan, dan keperluan asas mereka. Saya berharap Kerajaan Pusat segera menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih laluan ini,” katanya.
Dato’ Mumtaz dalam pada itu menzahirkan rasa simpati terhadap kesusahan dialami oleh lebih 1,400 penduduk yang bergantung kepada laluan tersebut setiap hari.
“Penduduk kampung telah terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina jambatan kayu nibong bagi menggantikan laluan yang terputus ini. Namun, jambatan ini hanya mampu dilalui oleh motosikal.
“Ia tidak selamat untuk kegunaan jangka panjang. Keadaan ini amat mendesak, dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak kerajaan,” katanya.
Ahli Parlimen PN yang hadir menegaskan bahawa isu infrastruktur luar bandar seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat.
Mereka turut menggesa perancangan jangka panjang bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Penduduk kini menanti langkah segera daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini yang telah menjejaskan kehidupan harian mereka.
Ahli-ahli Parlimen PN yang hadir itu juga menegaskan bahawa perhatian serius terhadap isu ini dilihat sebagai satu keperluan mendesak untuk menjamin kelangsungan kehidupan mereka.
“Kami akan terus memperjuangkan hak rakyat sehingga masalah ini diselesaikan. Penduduk kampung tidak boleh dibiarkan terus menanggung beban ini tanpa tindakan yang konkrit,” tegas Mumtaz. – HARAKAHDAILY 21/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan