‘Ngeri’ mahu langkah ke tahun baharu


‘Ngeri’ mahu langkah ke tahun baharu
Oleh Aznan Bakar
29 Disember 2024, 7:07 am


SEORANG rakan berkata dia rasa ‘ngeri’ untuk melangkah masuk ke tahun 2025 kerana risau kos sara hidup akan naik melampau. Katanya, ini bukan perasaan yang direka-reka atau antikerajaan dan sebagainya. Tetapi berdasarkan kepada perkembangan sekitar hujung tahun ini di mana banyak pihak memberi bayangan akan menaikkan harga dan tarif mereka.

Walaupun ia bermula dengan berita gembira kenaikan gaji kakitangan awam, tetapi secara automatik pihak-pihak lain turut menuntut untuk menaikkan harga mereka kononnya caj yang mereka kenakan kini adalah harga lama dan tidak sesuai lagi dengan kemunculan tahun baharu.

Akhirnya, pendapatan rakyat yang naik tidak seberapa itu habis untuk menampung kos sara hidup yang turut naik. Makanya, kenaikkan itu jadi sia-sia kerana pendapatan bersih tetap sama, malah kemungkinan makin berkurangan ekoran kenaikan kos perbelanjaan harian.

Antara yang mahu menaikkan harga pada tahun baharu ini ialah pengusaha-pengusaha kantin sekolah yang merasakan harga yang ditawarkan kini sudah tidak sesuai, ini turut membabitkan Rancangan Makanan Tambahan untuk para murid.

Pengusaha bas sekolah turut menyuarakan hasrat yang sama. Mereka mahu menaikkan tambang dengan alasan kos operasi telah meningkat disebabkan pelarasan subsidi diesel pada tahun ini. Selain itu, kata mereka, kos menyelenggara bas termasuk alat ganti juga semakin meningkat. Jadi, wajar untuk mereka menaikkan tambang.

Hal yang sama juga dibayangkan oleh pengusaha-pengusaha restoran dan sebagainya. Ada yang memberi bayangan mahu menaikkan harga makanan sekitar lima peratus. Walaupun ditentang, terdapat pengusaha yang sudah menaikkannya tanpa disedari oleh pengguna.


Terbaharu adalah cadangan ura-ura untuk menaikkan tarif elektrik oleh pembekal utiliti utama negara. Bagaimanapun sebenarnya ia masih belum dimuktamadkan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan apa-apa yang membeban dan menyusahkan rakyat tidak akan dibenarkan.

Oleh itu, diharapkan pihak terbabit dapat mengkaji semula cadangan untuk menaikkan apa-apa tarif terutama bagi syarikat yang mengaut untung. Jika dengan harga sekarang masih untung mengapa perlu menaikkan tarif?

Jika ada keperluan untuk menaik taraf mana-mana kemudahan atau untuk memperoleh teknologi baharu, apa salahnya gunakan modal sedia ada dahulu. Jika betul-betul sudah sesak barulah minta kebenaran dari kerajaan untuk naikkan caj.

Cuma di negara ini, kita bernasib baik kerana kerajaan peka akan beban yang ditanggung rakyat. Sebab itu sebarang pengumuman yang bakal memberi kesan negatif kepada rakyat segera ‘dipintas’. Malah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi meringankan kos hidup rakyat masih bernilai puluhan bilion ringgit.

Cuma kita tidak mahu kenaikan caj, harga dan tarif seperti sudah menjadi tabiat atau habit. Setiap kali masuk tahun baharu mesti mahu dinaikkan hingga kita rakyat biasa ini merasa ngeri setiap kali mahu menghadap tahun baharu.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan