
‘PAS tak teragak-agak mobilisasi sokongan rakyat’
Isu penjualan saham MAHB
December 26, 2024
KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berhubung keputusan Prosiding Jawatankuasa Kira-KIRA Wang Negara (PAC) untuk meneliti isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan pendirian menolak sebarang usaha untuk menjual saham strategik itu kepada pihak asing dan menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab serta akan menggugat kedaulatan ekonomi negara.
“MAHB bukan sekadar sebuah syarikat, tetapi simbol kekuatan ekonomi negara serta pemacu utama sektor penerbangan.
“Dengan pencapaian 101.2 juta penumpang sehingga September 2024 dan lonjakan keuntungan sebanyak 137 peratus kepada RM606.3 juta, cadangan penjualan ini adalah langkah yang tidak berpandangan jauh dan hanya menguntungkan pihak tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PAS memberi amaran keras kepada kerajaan agar menghentikan sebarang rundingan berkaitan penjualan itu.
“Sebarang urus niaga melibatkan aset strategik ini tanpa ketelusan adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Proses ini mesti dijalankan dengan terbuka, dan pihak yang bertanggungjawab wajib dipertanggungjawabkan.
“Prosiding PAC perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan melibatkan semua pihak berkaitan,” gesanya.
Menurutnya, kerajaan harus mengutamakan pengurusan ekonomi yang berhemah dan patriotik, bukan tunduk kepada kepentingan segelintir pihak berkepentingan.
“Sekiranya kerajaan tetap meneruskan langkah ini, PAS tidak teragak-agak memobilisasi sokongan rakyat untuk mempertahankan aset strategik negara.
“MAHB adalah lambang kebanggaan dan kedaulatan Malaysia, dan PAS akan memastikan ia kekal milik rakyat sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan