Pekan Rantau Panjang semakin pulih, banjir surut
December 3, 2024
selepas meninjau perkembangan banjir di Pekan rantau Panjang, Dato' Siti Zailah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang terjejas
KOTA BHARU: Air banjir di Pekan Rantau Panjang, antara kawasan yang mula dilanda banjir baru-baru ini dilaporkan semakin surut bermula awal malam kelmarin.
Keadaan juga dilaporkan semakin baik pada sebelah petang semalam apabila semua kenderaan boleh memasuki pekan berkenaan.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkembangan itu berlaku berikutan tiada hujan di negeri itu termasuk di Rantau Panjang sejak malam kelmarin.
Bagaimanapun katanya, Kampung Kubang Cenok masih belum boleh dilalui kerana air banjir masih dalam sehingga para dada.
“Bagi anak-anak Kelantan yang ingin pulang ke kampung nak jenguk keluarga, insya Allah pekan Rantau Panjang sudah boleh dilalui, bagaimanapun Kak Lah harap semua berhati-hati dengan situasi banjir yang masih berlaku sekarang.
“Kedai-kedai belum boleh beroperasi memandangkan masih ada yang dinaiki air, ada juga pemilik kedai mencuci kedai mereka,” ujarnya ketika dihubungi.
Sementara itu, Tebatan D’Raja Sungai Kelantan juga dilihat semakin surut.
Tinjauan Harakahdaily malam kelmarin mendapati kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan bagi membuang lumpur setelah kawasan berkenaan dilimpahi air banjir empat hari lepas.
Kawasan sekitar Tebatan D’Raja juga tidak lagi dibanjiri orang ramai berbanding ketika ia mula digenangi air empat hari lepas.
Sementara itu, dua sungai di Kelantan masih mencatat aras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (F1), (10.34m) telah melebihi tahap bahaya (9m) sebanyak 1.34m, trend menurun setakat pukul 7:45 malam tadi.
Turut mencatatkan paras bahaya Sungai Golok Golok di Kuala Jambu (F1), Tumpat, aras air 4.03m telah melebihi tahap bahaya (3m) sebanyak 1.03m.
Setakat pukul 8:15 malam tadi, seramai 61,215 orang mangsa banjir dari 19,110 keluarga ditempatkan di 166 Pusat Pemindahan Sementara di sembilan daerah.
Daerah Pasir Mas kekal direkodkan sebagai jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 27,595 orang, diikuti Daerah Tumpat seramai 21,010. – HARAKAHDAILY 3/12/2024


share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan