Penduduk PPR Desa Rejang rayu campur tangan PM atasi isu lif rosak
NAIB Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat, Mustaffa Kamal Syaripuddin (tiga dari kanan) bersama wakil penduduk meninjau keadan lif yang rosak sejak 16 hari lalu di Blok D, PPR Desa Rejang, Setapak Jaya.- UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
30 Disember 2024, 6:35 am
KUALA LUMPUR: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan isu kelewatan kerja-kerja penggantian lif yang berlarutan sejak 16 hari lalu.
Naib Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat, Mustaffa Kamal Syaripuddin meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan syarikat kontraktor dilantik bagi menyiapkan projek penggantian lif mengikut jadual ditetapkan pada 15 November lalu.
Menurut beliau, kelewatan bukan sahaja menimbulkan kesulitan harian, malah mengancam keselamatan penduduk yang terpaksa menggunakan lif lama kerap rosak dan tidak selamat.
“Beberapa blok seperti Blok D, lif langsung tidak berfungsi. Seminggu lalu, lif tersebut menjunam dari tingkat sembilan akibat kabel yang hampir terputus sehingga memaksa penduduk untuk menaiki tangga sehingga ke tingkat 18.
“Warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak adalah antara golongan yang paling terkesan dengan keadaan ini.
“Peniaga juga mengalami kerugian kerana urusan mereka terganggu untuk menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Blok D, PPR Desa Rejang, di sini semalam.
PPR Desa Rejang mempunyai 12 blok dengan kira-kira 18,000 penduduk terdiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, OKU, kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada kemudahan asas seperti lif untuk menjalankan aktiviti harian.
Sebelum ini, mesyuarat telah diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat Fuji DNDT dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 18 Disember lalu.
Dalam mesyuarat tersebut, kontraktor dilantik menyatakan 13 daripada 18 lif baharu telah siap dipasang dan menunggu penilaian keselamatan JKKP.
Namun Mustaffa Kamal berkata, proses penilaian itu tertangguh berikutan kelewatan kontraktor menyediakan dokumen diperlukan.
Kata beliau, mesyuarat susulan pada 20 Disember lalu turut gagal mendapatkan jalan penyelesaian apabila tarikh cadangan penilaian pada 26 Disember tidak dipenuhi.
“Kami telah memberikan ruang dan masa yang mencukupi kepada pihak kontraktor dan DBKL untuk menyelesaikan isu ini. Namun, sehingga hari ini, penduduk masih terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa lif yang selamat,” jelasnya.
Berikutan kekecewaan terhadap kelewatan berterusan ini, satu laporan polis telah dibuat.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat turut mempersoalkan bagaimana DBKL boleh melantik syarikat kontraktor yang tidak berkemampuan melaksanakan projek itu, walaupun kerajaan sudah memperuntukkan dana RM22 juta.
Malah, pihaknya mendesak kerajaan mempercepatkan penilaian keselamatan lif baharu dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor gagal.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan