Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia tangani jenayah siber


Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia tangani jenayah siber
Disember 3, 2024 @ 8:01am
JENAYAH siber sama ada penipuan, buli, amang seksual, aktiviti pedofilia dan jerat pelaburan serta percintaan seperti 'Macau Scam' diketahui menjadi ancaman besar membayangi kehidupan rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

Setiap hari, ada saja laporan mendedahkan individu menjadi mangsa penipuan siber mengakibatkan kerugian ratusan ribu hingga jutaan ringgit, selain mendedahkan orang awam terutama kanak-kanak dan wanita kepada jenayah seksual siber.

Sepanjang Januari hingga September tahun ini, 19,224 kes jenayah siber dilaporkan, meningkat 23 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya​. Dari 2022 hingga pertengahan 2024, kerugian akibat jenayah penipuan siber dianggarkan RM2.65 bilion. Pada Jun lalu, kerugian ini mencapai RM581 juta.

Penipuan dalam talian kekal di tangga teratas, dengan sejumlah besar kes membabitkan 'Love Scam' dan sindiket penipuan jual beli dalam talian. Itu belum lagi insiden buli siber dan ancaman keselamatan terhadap individu serta organisasi​. Pada 2023, sebanyak 1,567 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan, meningkat 26.5 peratus daripada 1,239 kes pada tahun sebelumnya. Kesalahan membabitkan serangan seksual secara fizikal mencatatkan kenaikan 21.1 peratus dengan 1,389 kes, manakala kes pornografi kanak-kanak mencapai 67 kes.

Jelas, berdasarkan rekod berkenaan, jenayah siber semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan penggunaan teknologi digital, bukan hanya menyebabkan kerugian ekonomi tetapi mengancam keselamatan individu dan organisasi.

Justeru, langkah Kementerian Komunikasi meminda Seksyen 233 Akta 588 menerusi Rang Undang-undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam adalah keputusan tepat bagi menangani, sekali gus membanteras jenayah siber termasuk amang seksual semakin kritikal masa kini.

Seksyen 233 membabitkan penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian dan aplikasi, termasuk media sosial bagi tujuan penyebaran kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Paling penting, RUU itu mencadangkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun dan menafsirkan kesalahan dilakukan itu sebagai kesalahan yang boleh ditangkap. Pindaan ini diharap menggerunkan penjenayah siber melakukannya di ruang media sosial.

RUU pindaan ini turut mempunyai kepentingan besar bagi iaitu dapat memastikan undang-undang kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman dalam ruang digital, sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap penggunaan internet sebagai platform selamat.

Ia turut memberikan jaminan kepada pelabur asing sistem komunikasi dan multimedia di Malaysia berada dalam kawalan undang-undang ketat, memastikan undang-undang seiring dengan kemajuan teknologi seperti media sosial, kecerdasan buatan (AI), dan internet benda (IoT) yang membawa cabaran baharu penggunaan teknologi digital.

Walaupun langkah seperti kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang diperketat, pengguna tetap berkewajipan untuk lebih cakna, celik digital dan berwaspada menggunakan platform digital di samping meningkatkan pengawasan terhadap kanak-kanak bagi mengelak menjadi mangsa amang seksual.

Ulasan