Sambutan tidak patuh garis panduan fatwa



Sambutan tidak patuh garis panduan fatwa
December 27, 2024


KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang secara terbuka menganjurkan perayaan agama Kristian di premis kerajaan, melibatkan penyertaan umat Islam dikecam sekeras-kerasnya.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar batas-batas akidah umat Islam, tetapi juga bertentangan sensitiviti agama di negara ini yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan pandangan mufti dan garis panduan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agama Islam, umat Islam diharamkan untuk terlibat secara langsung dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Hal ini telah dijelaskan secara tegas dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan Menteri KPKT itu jelas menunjukkan kealpaan dalam memahami prinsip-prinsip asas keharmonian agama yang seharusnya dihormati.

Ia juga katanya, memberi isyarat salah kepada masyarakat umum, terutamanya umat Islam, mengenai batasan penyertaan dalam perayaan agama lain.

Tambahnya, lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada polemik yang boleh menggugat keharmonian antara agama di Malaysia.

Justeru, Nadzir menyeru agar Menteri KPKT segera menghentikan segala bentuk program atau aktiviti yang melibatkan umat Islam dalam perayaan agama lain.

“Kami juga mendesak pihak kerajaan untuk memperkukuh garis panduan berhubung perkara ini dan memastikan semua menteri dan agensi kerajaan mematuhinya demi menjaga keharmonian dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Semoga tindakan tegas dapat diambil bagi mengelakkan perkara ini berulang pada masa hadapan.

“Pemuda PAS Malaysia tetap komited untuk mempertahankan kesucian Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024

Ulasan