
‘Saya tidak relakan Ebit WhatsApp lucah’
EBIT Lew bersama peguam Ram Singh semasa tiba di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah semalam.
Oleh SURAIDAH ROSLAN
11 Disember 2024, 7:28 am
TENOM: “Saya tidak merelakan dia (Ebit Lew) WhatsApp lucah pada saya. Saya memang ada balas WhatsApp dia tetapi, bukan berunsur lucah.”
Demikian keterangan pengadu yang juga saksi kesembilan dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwaan terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 39.
Pengadu memberitahu perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret, semalam.
Kata pengadu, apabila dia menjawab soalan peguam dalam pemeriksaan balas ‘dengan saya tidak apa’ maksudnya, jangan buat begitu kepada sesiapa sebab nama Ebit terkenal.
Beliau berkata demikian semasa diminta menjelaskan mengapa pengadu menjawab ‘tidak bersetuju’ dengan soalan peguam yang mencadangkan pengadu seperti mempunyai perhubungan dengan Ebit melalui mesej ‘dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak’.
Apabila ditanya mengapa pengadu menjawab tidak bersetuju kepada soalan peguam; “Adakah kamu bersetuju apabila kamu menghantar gambar payu-dara, kamu telah menyimpang daripada tujuan untuk menyertai program Keluarga Sunnah?”, pengadu menjelaskan memang tujuan asalnya ingin menyertai program tersebut namun, Ebit telah mempengaruhinya dengan perbuatan yang tidak baik.
Menurutnya lagi, cerita itu memang bukan versinya tetapi ia adalah apa yang sebenarnya berlaku. Dia tidak mereka-reka cerita dan berbohong pada semua.
Dalam keterangannya, pengadu menyatakan dia merakam panggilan video dengan Ebit bukan untuk dijadikan bahan bukti namun, selepas memutuskan untuk buat laporan dia mendapati video itu sesuai untuk dijadikan bukti kerana dalam video ada suara Ebit.
Maka, dia menjadikan rakaman video itu sebagai bukti supaya polis percaya bahawa dia tidak menipu.
Jelas pengadu, sepatutnya dia memang ingin buat laporan polis pada April 2021 tetapi, pada masa itu selepas dia dan suaminya berbincang, suami pengadu bimbang orang tidak akan percaya kepada mereka.
Sehinggalah pada Julai 2021, apabila berita gangguan seksual oleh pendakwah terkenal tersebar barulah mereka berani tampil kehadapan kerana ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam kes mereka.
Walau bagaimanapun, pengadu memberitahu mahkamah, keputusan untuk membuat laporan adalah daripada dia sendiri.
Malah, sejak April dia sudah berniat untuk lapor dan pada masa itu, dia belum mengenali Akhi Fairuz (saksi pertama) dan Firdaus Wong (saksi ketiga).
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret, Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan