Sebat di khalayak, pesalah jalani pemeriksaan kesihatan sebelum dan selepas hukuman
Oleh Baharom Bakar - Disember 27, 2024 @ 1:39pm
Anggota polis memasang pita keselamatan di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bagi melancarkan proses pelaksanaan hukuman sebatan syariah di khalayak ke atas seorang tukang rumah atas kesalahan khalwat berulang yang akan dilaksanakan selepas solat Jumaat. - NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah yang didapati bersalah berkhalwat berulang, akan ditentukan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Difahamkan, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjalani pemeriksaan tahap kesihatan sebaik tiba di masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini, petang ini.
Dia akan dibawa dari penjara terbuka Marang oleh pegawai penjara dengan diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 2.45 petang ini.
Jurucakap mahkamah syariah yang enggan namanya disiarkan memaklumkan, Mohd Affendi akan menjalani rawatan kesihatan oleh sepasukan pegawai Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) di dewan A'asim.
"Hukuman enam sebatan ke atas pesalah akan dilakukan sekali gus selepas pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatannya baik.
"Tertuduh sekali lagi akan menjalani pemeriksaan kesihatan selepas sebatan selesai dilakukan sebelum kembali dibawa ke penjara terbuka Marang," katanya.
Tukang rumah itu menjadi individu pertama di negeri ini menjalani hukuman enam sebatan di khalayak kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas Mohd Affendi mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Selain enam sebatan, dia turut didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.
Pada 11 Julai tahun lalu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Bapa kepada lima anak itu mengulangi kesalahan pada 25 Januari lalu, sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sementara itu, tinjauan mendapati keadaan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah sudah dipenuhi orang ramai.
Tinjauan mendapati lebih 50 wartawan dan jurugambar pelbagai agensi mula berkumpul di perkarangan masjid.
Turut kelihatan beberapa pegawai penjara manakala pegawai polis trafik memasang tali penghadang terutama di laluan masuk ke dewan A'asim.
Ulasan
Catat Ulasan